OPERASI mencari yang dijalankan pasukan bomba malam tadi. FOTO Suzaini Sulaiman
OPERASI mencari yang dijalankan pasukan bomba malam tadi. FOTO Suzaini Sulaiman
Oleh Suzaini Sulaiman


Tanjong Karang: Mayat nelayan yang dilaporkan hilang ketika menyelam bagi membuang tali yang tersangkut pada kipas enjin botnya petang semalam ditemui di perairan Bagan Sungai Kajang, tengah hari tadi.

Mayat C Selvaraju, 38, ditemui pada 12.55 tengah hari selepas dilaporkan hilang oleh rakannya pada 4 petang semalam di Jeti Bagan Sungai Kajang.

Mangsa ditemui seorang nelayan yang ternampak kepalanya kira-kira 50 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, mangsa yang hanya memakai seluar jeans tanpa baju ditemui dalam keadaan timbul di permukaan air.

"Ketika pasukan kami memulakan pencarian, air sudah surut dan mangsa dipercayai ditindih oleh bot berkenaan dan hanya timbul selepas air pasang," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 2:38 PM