Pasukan penyelamat berbincang di pusat operasi pencarian pelajar berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang selepas mandi di terusan berhampiran Sungai Tengi, Tanjong Karang, semalam. FOTO ihsan bomba
Pasukan penyelamat berbincang di pusat operasi pencarian pelajar berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang selepas mandi di terusan berhampiran Sungai Tengi, Tanjong Karang, semalam. FOTO ihsan bomba
Oleh Suzaini Sulaiman

Tanjong Karang: Seorang lagi pelajar dilaporkan hilang selepas mandi bersama rakannya di terusan berhampiran Sungai Tengi, di sini, pagi semalam dan sehingga kini masih belum ditemui.

Nor Ashraf Niran, 13, dilaporkan hilang oleh keluarganya kira-kira 2 pagi tadi selepas tidak pulang ke rumah selain gagal menemuinya di lokasi kejadian, sebelum pasukan penyelamat memulakan operasi pencarian.

Semalam, rakan Nor Ashraf, Muhammad Akmal Munawer, 14, dan Mohammad Hafiz Arbaie, 14, ditemui lemas di terusan berkenaan, manakala seorang lagi rakan mereka, Raja Mohd Haziq Raja Hasrizal, 14, selamat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang memulakan operasi di Kunci Air Buang Sungai Sireh, lokasi berdekatan tiga remaja itu yang dihanyutkan arus deras semalam.

"Pasukan bomba memulakan pencarian bermula 11.45 pagi tadi membabitkan 12 anggota selain dibantu 12 anggota polis, lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan 23 penduduk setempat.

"Pasukan pencari dibahagikan kepada tiga kumpulan selain turut melakukan pencarian di kebun berdekatan serta menyusuri sungai di Kunci Air Buang Sungai Sireh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 4:37 PM