PEMANDANGAN dari udara Sungai Tanum di Kuala Lipis yang runtuh ketika banjir. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
PEMANDANGAN dari udara Sungai Tanum di Kuala Lipis yang runtuh ketika banjir. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lipis: Satu titi terapung atau 'Jetfloat' dibina di Sungai Tanum, Kampung Aur Gading, hari ini, yang akan digunakan laluan sementara lebih 3,000 penduduk di kawasan itu untuk ke Kuala Lipis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pasukan bawah naungan Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 3 Div sudah memulakan pemasangan 400 modul 'jetfloat' sepanjang 50 meter dan dua meter lebar.

Katanya, laluan itu hanya untuk sementara waktu bagi menunggu anggota RAJD membina jambatan 'Compact Bailey 100' atau jambatan pasang siap yang dijangka siap dalam 24 jam.

"Jambatan ini boleh dilalui kenderaan berat yang tidak melebihi 60 tan. Tapi, jambatan ini juga hanya sementara. Jambatan kekal akan dibina,” katanya ketika meninjau keadaan jambatan itu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof turut meninjau pembinaan jambatan alternatif di Kampung Jongak Batu-Kampung Pasir Raja, Dungun, yang siap sepenuhnya semalam.

Selain itu, menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan membina semula Jambatan Sungai Stelu, Gua Musang sepanjang 200 meter yang mengalami runtuhan tebing penahan jambatan ketika banjir besar melanda Kelantan beberapa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 4:49 PM