ANTARA tarian yang dipersembahkan.
ANTARA tarian yang dipersembahkan.
ANTARA tarian yang dipersembahkan.
ANTARA tarian yang dipersembahkan.
POSTER Koleksi Tari Malaysia
POSTER Koleksi Tari Malaysia
Ridzuan Abdul Rahman


Pentingnya memelihara seni tari negara yang jarang dipertontonkan pada era modenisasi ini.

Kebiasaannya kita disajikan dengan tarian yang menggunakan muzik moden serta gerak tari yang lincah dan rancak.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu asas gerak tari itu datangnya daripada seni tari tradisional.

Justeru satu langkah bijak apabila Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menghimpunkan koleksi seni tari Malaysia ini menerusi program Panggung Seni Tradisional.

Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli berkata, program itu menjadi medium persembahan Kesenian Tradisional Malaysia yang dipentaskan secara berjadual di ibu negara sejak 2013.

"Kami memberi peluang kepada pelancong dan peminat kesenian tradisional untuk menyaksikan perĀ­sembahan ini di samping memupuk minat dan kecintaan terhadap kesenian negara.

"Sehubungan itu, kesinambungan daripada Program Panggung Seni Tradisional 2013 - 2015, JKKN meneruskan program ini dalam usaha menampilkan kesenian tradisional Malaysia yang autentik dan klasik.

"Melalui Program Perantisan, JKKN sudah mengangkat beberapa kesenian tradisional yang mempunyai struktur persembahan lengkap dan mampu diketengahkan di pentas perdana.

"Namun kesenian tradisional lain yang bukan daripada program perantisan juga turut dijadikan pengisian persembahan," katanya.

Menurutnya, Koleksi Tari Malaysia adalah pengisian atau siri terakhir dalam program Panggung Seni Tradisional 2016 selepas Gemersik Alunan Gambus (April), Opera Boneka Cina (Mei) dan Koleksi Tari Klasik India (Ogos).

"Persembahan yang menghimpunkan pelbagai genre tari masyarakat berbilang kaum ini akan diadakan pada 21 dan 22 Oktober ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur, jam 8.30 malam.

"Pengisiannya dibahagikan kepada lima segmen iaitu Koleksi Tari Istana dan Buka Panggung yang menampilkan iringan muzik gamelan, serunai dan gendang.

"Kedua pula, segmen Malaya Dulu-Dulu (himpunan tarian yang dipetik daripada lagu atau tarian dalam filem Melayu lama).

"Segmen seterusnya Koleksi Tari Identiti/Ikon Negeri (koleksi tari yang menjadi identiti atau ikon popular sesebuah negeri di Malaysia)," katanya.

Tidak ketinggalan segmen Koleksi Tari Etnik (Sukuan) (Repertoir tarian kaum majoriti di Malaysia) dan terakhir Koleksi Tari Finale (Himpunan tarian berentak joget dan inang yang sering dijadikan penutup sesebuah persembahan).

Norliza berkata, lima kumpulan kesenian unit tari bergabung untuk mempersembahkan persembahan yang dijangka mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat dan peminat seni tari tanpa meĀ­ngira bangsa dan agama.

"Mereka adalah Kumpulan Kesenian JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kumpulan Kesenian JKKN Selangor, Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kumpulan Aadyamaatra, Pusat Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Seni Persembahan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Inilah keunikannya kerana kami berjaya menghimpunkan mereka bagi merealisasikan impian menampilkan persembahan mantap dan menghiburkan.

"Saya amat berharap program ini berjaya menarik perhatian ramai peminat khususnya masyarakat tempatan kerana siapa lagi yang mempertahankan seni warisan tradisi jika bukan kita," katanya.

Untuk persembahan nanti, JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menyajikan persembahan tarian Gamelan Perang Manggang, Ulik Mayang, Medley Borneo dan Sewang, JKKN Selangor (Bertimpuh, Joget Si Pinang Muda, Pooja dan Inang Lemak Manis) dan ASWARA (Medley Pencak Silat dan Tari Makan Sirih, Ketipang Payung, Zapin Bunian dan Tari Sapu Tangan).

Manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (Layang Emas, Inang Baru, Canggung dan Joget Pucuk Pisang) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (Mengadap Rebab, Lenggang Penghibur, Berunsai dan Zapin Sebat).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 5:48 AM