Hafiz Ithnin


BERLATARBELAKANGKAN rumah tradisional Jawa yang hampir 100 peratus bahan buatannya diimport dari Indonesia, ternyata ia melengkapkan pesona menonton tarian barongan yang cukup kaya dengan budaya dan kepercayaan.

Itu sebahagian pengalaman penulis. Sebaik sahaja delegasi media dari Kuala Lumpur tiba di Kampung Parit Bugis, Muar menerusi Program Ekspresi Media yang dianjurkan Tourism Malaysia menjejakkan kaki ke rumah tradisional itu seakan-akan berada di negara jiran. Walhal, kami berada di Johor!

Dari jauh lagu tradisional Jawa menjadi halwa telinga. Penari dan pemuzik terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan difahamkan paling muda berusia lapan tahun.

Kumpulan yang akan mempersembahkan tarian barongan itu daripada Kumpulan Barongan Warisan Bestari yang sudah memasuki generasi keempat.

Malah kumpulan itu diketuai Mohd Nazaruddin Md Sintar, 48, yang mewarisi tarian itu dari susur-galur keluarganya yang berasal dari Ponorogo di wilayah Jawa Timur.

Mohd Nazaruddin berkata, sebelum ini nama kumpulannya dikenali sebagai Seri Gemala Reog dan ditukar kepada nama baharu sejak dia menerajuinya pada 2004.

"Kampung Parit Bugis ini masyarakatnya rata-rata mempunyai susur-galur dari Jawa dan kediaman asli Jawa yang berusia sekitar lapan tahun ini didirikan saudara saya untuk memperingati keaslian masyarakat di sini.

"Jadi, apabila pengunjung ingin menonton tarian barongan yang berlatarbelakangkan rumah asli Jawa, ia mempunyai aura tersendiri," katanya.

Katanya, sebagai generasi ketiga sudah menjadi tanggungjawabnya untuk meneruskan warisan tarian barongan yang ditinggalkan moyangnya. Kini, empat anaknya yang menjadi generasi keempat turut aktif di dalam kumpulan itu. Seorang daripadanya berusia lapan tahun.

"Tarian barongan bukan sesuatu yang mudah kerana ia mencakupi pelbagai elemen yang perlu difahami pemainnya kerana ia terdiri daripada muzik, tarian dan penceritaan.

TOPENG barongan yang perlu diangkat menggunakan rahang.
TOPENG barongan yang perlu diangkat menggunakan rahang.

"Tiada istilah setahun dua untuk mahir di dalam tarian ini kerana setiap penari atau pemuzik barongan sentiasa belajar selagi mereka aktif di dalam seni ini," katanya.

Menceritakan secara ringkas mengenai barongan, katanya, tarian barongan adalah mengenai perbalahan antara Patih Singolodro Barongseto dan Raja Kelono Sewandono untuk merebut Ratu Songgolangit dari Kerajaan Kediri.

"Ketika perbalahan itu, Raja Kelono Sewandono menggunakan senjata yang berkuasa dikenali sebagai 'pecut samandiman' yang mengenai Patih Singolodro Barongseto sehingga berubah menjadi separuh manusia dan separuh harimau.

"Ratu Songgolangit pula mempunyai tentera berkuda terdiri daripada wanita yang mempertahankan ratu mereka," katanya.

Jelasnya, ramai yang menganggap tarian berkuda di dalam persembahan barongan adalah tarian kuda kepang. Perkara itu tidak tepat kerana tarian itu dikenali sebagai tarian jatilan yang memaparkan askar Ratu Songgolangit mempertahankan ratu mereka.

MOHD Nazaruddin menunjukkan salah satu aksi dalam tarian barongan.
MOHD Nazaruddin menunjukkan salah satu aksi dalam tarian barongan.

"Jadi, dalam sebuah persembahan barongan terdiri daripada tiga jenis tarian iaitu pertama, jatilan untuk askar Ratu Sanggolangit. Kedua, tarian ganongan untuk beberapa topeng ganong yang mencerminkan hulubalang Kerajaan Raja Bantarangin yang diketuai Raja Kelono Sewandono.

"Ketiga, tarian barongan iaitu pergerakan Patih Singolodro Barongseto yang dikenali sebagai barongan," katanya.

Katanya, di Johor sahaja dia difahamkan terdapat sekitar enam kumpulan barongan yang masih aktif dan mereka mempunyai jaringan antara satu sama lain untuk meneruskan legasi tradisi itu.

Dalam persembahan tarian barongan terdapat beberapa alat muzik yang dimainkan iaitu gendang, gong, kenong, ketipong dan angklung.

Persembahan yang memukau itu turut menunjukkan kemampuan anak muda antaranya Muhammad Ezzhar Baderuddin, 19, yang menunjukkan pelbagai aksi tarian bertopengkan barongan.

Sebenarnya, topeng barongan yang diimport dari Ponorogo itu bukan sesuatu yang mudah untuk dikendalikan kerana beratnya mungkin melebihi 25 kilogram.

Penari topeng itu perlu mengendalikannya bukan menggunakan kudrat tangan, tetapi kekuatan rahang untuk menampung topeng itu.

Ditanya mengenai unsur mistik dalam tarian barongan, Mohd Nazaruddin berkata, ketika ini tarian itu adalah sebuah persembahan sahaja.

"Memang dahulu tarian ini penuh dengan mistik, tetapi itu zaman nenek moyang saya. Jadi untuk generasi sekarang saya terapkan cara untuk persembahan sahaja," katanya.

Katanya, tarian barongan mempunyai permintaan yang tinggi untuk diadakan persembahan dan boleh dikatakan setiap minggu jika tiada halangan pergerakan pasti terdapat undangan yang bukan saja dari Johor, tetapi di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Saya berharap tarian barongan ini akan dapat diteruskan sampai bila-bila kerana ia adalah tradisi yang cukup

menarik dan sarat dengan penceritaan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 7:00 AM
TARIAN barongan bukan mudah untuk dilakukan.
TARIAN barongan bukan mudah untuk dilakukan.