BERSEMANGAT meneruskan kesinambungan tradisi warisan.
BERSEMANGAT meneruskan kesinambungan tradisi warisan.
CEMERLANG selepas muncul juara keseluruhan pada Pertandingan Gamelan Melayu Pulau Pinang yang berlangsung November 2016.
CEMERLANG selepas muncul juara keseluruhan pada Pertandingan Gamelan Melayu Pulau Pinang yang berlangsung November 2016.
Syed Ismail Syed Abu Bakar

Orkestra muzikal Jawa atau lebih dikenali sebagai gamelan masih mampu menarik minat orang ramai khususnya pelajar kerana keunikan bunyi dan iramanya.

Sekumpulan pelajar SMK Teluk Kumbar II, Pulau Pinang masih mendokong seni warisan ini supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Malah penubuhan kumpulan gamelan pula dipimpin Ketua Panitia Muzik, Muzirah Mohamad Yusof bersama guru muzik, Mohamad Shaqree Zakaria selain mendapat restu pengetuanya Zahari Zakariah.

Menerusi gabungan itu, 30 pelajar tingkatan tiga dan empat sekolah terbabit berpeluang menimba ilmu untuk mempelajari asas peralatan muzik gamelan sejak kumpulan gamelan ditubuhkan pada 2008.

Muzirah berkata, usaha membentuk kumpulan seni gamelan menunjukkan betapa pentingnya pelajar diberi peluang mendalami salah satu muzik tradisional itu.

“Seni muzik gamelan adalah penyambung warisan dan usaha untuk mempopularkannya dalam kalangan remaja serta pelajar seharusnya dilakukan secara berterusan.

“Kita mahu menarik generasi muda untuk meminati kesenian ini dan sebarang usaha mengembang serta mempertingkatkan martabat muzik gamelan perlu dibuat sesuai dengan peredaran zaman,” katanya.

Beliau berkata, pasukan gamelan sekolah itu turut cemerlang apabila muncul juara keseluruhan, sekali gus merangkul anugerah khas lagu tradisional dan gubahan terbaik pada Pertandingan Gamelan Melayu Pulau Pinang pada November tahun lalu.

Sementara keunikan nama dan bunyi muzik gamelan sangat menyentuh hati pelajar tingkatan tiga, Muhammad Hafizzudin Noor Azlan, 15, untuk mempelajari seni muzik tradisional berkenaan.

“Sejak kecil lagi saya selalu mendengar muzik gamelan terutama pada majlis keramaian, tetapi tidak menduga berpeluang mempelajari dan mengenali lebih dekat peralatan muzik tradisional itu.

“Usaha menyemai rasa kecintaan dalam kalangan pelajar seharusnya dibuat secara lebih tekun, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk terus mendalaminya.

“Saya berasa teruja apabila melihat peralatan seperti metalofon, gambang, gendang dan gong dalam pelbagai jenis ukuran serta bentuk apatah lagi berpeluang mempelajarinya ketika belajar di sekolah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 11:01 AM