BENTEKE (depan) manfaat tolakan Lallana untuk gol kemenangan Liverpool.
BENTEKE (depan) manfaat tolakan Lallana untuk gol kemenangan Liverpool.
Reuters

London: Christian Benteke menghukum Sunderland yang bergelut dengan prestasi tidak menentu, apabila jaringan tunggalnya membolehkan Liverpool menang 1-0, sekali gus berkongsi kedudukan bersama Manchester United di tangga keenam pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris tahun ini, semalam.

Penyerang Belgium memecah kebuntuan ketika aksi berusia 22 saat selepas rehat untuk gol keenamnya musim ini. Jaringan itu separuh masa kedua terpantas direkodkan dalam aksi Liga Perdana Inggeris tahun ini.

Hantaran jauh Nathaniel Clyne ditolak Adam Lallana ke arah Benteke yang berjaya membolosi pertahanan Sunderland kerana tidak dikawal rapi.

Liverpool yang menewaskan Leicester City 1-0 Sabtu lalu dengan satu lagi jaringan separuh masa kedua daripada Benteke, mengutip 30 mata daripada 19 perlawanan namun skuad bimbingan Klopp itu berada di belakang Manchester United menerusi perbezaan gol.

Sunderland kekal di tangga kedua tercorot dengan 12 mata selepas lima kekalahan berturut-turut, tujuh mata daripada paras selamat.

“Tiga mata hasil kerja keras,” kata Klopp.

“Ia bukan yang terbaik daripada kami. Kami sedar mengenainya kerana perlu berjuang untuk menang.

“Semua orang mahu menamatkan tahun ini dengan positif. Kami berjaya melakukannya, tapi tidak Sunderland. Kini kami boleh pulang ke rumah dan tidur dua kali sebelum menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Pengurus Sunderland Sam Allardyce mengutuk nasib malang pasukan itu.

“Liverpool bernasib baik mendapat gol itu,” katanya.

“Jika Liverpool menjaringkan gol itu menerusi permainan cantik Coutinho atau Lallana dengan menewaskan beberapa pemain sebelum merembat ke sudut atas gawang, kami terpaksa mengakui mereka memang hebat. Tapi, apa yang berlaku sebaliknya, mereka sekadar bernasib baik.”

Benteke boleh menjadikan keputusan perlawanan itu 2-0 pada minit terakhir apabila mendapat peluang keemasan, namun dia menendang terus ke arah penjaga gol Vito Mannone.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 7:24 AM