AMARAN yang dikeluarkan di laman Web MetMalaysia.
AMARAN yang dikeluarkan di laman Web MetMalaysia.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah dan jingga bagi negeri Pantai Timur dan Johor dijangka berterusan sehingga esok.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di Facebook dan laman web, MetMalaysia meramalkan hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Amaran hujan lebat peringkat merah dikeluarkan kepada Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat, Kelantan manakala di Terengganu daerah yang terjejas ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Amaran peringkat jingga pula dikeluarkan kepada daerah Kuala Krai, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas serta Hulu Terengganu.

Selain itu, daerah Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru, Johor serta Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang turut dikeluarkan amaran jingga berikutan mengalami taburan hujan sederhana lebat.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak bermula hari ini sehingga Isnin ini.

Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dijangka berlaku bermula pada hari ini sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 1:39 PM