Vienna: Brazil menamatkan aksi mengecewakan tahun ini dengan kemenangan 2-1 ke atas Austria dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Vienna awal pagi semalam selepas juara Piala Dunia lima kali itu mencatatkan enam kemenangan daripada enam perlawanan sejak dimalukan Jerman di Piala Dunia 2014 sekali gus menyaksikan bekas ketua pasukan skuad 1994, Dunga mengambil alih tugas jurulatih dari Luiz Felipe Scolari.

Pertahanan Paris Saint-Germain, David Luiz membuka jaringan buat pasukan pelawat sebelum Aleksandar Dragovic menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti.

Bagaimanapun, Roberto Firmino menjaringkan gol kemenangan Brazil tujuh minit sebelum perlawanan tamat.

Dunga gembira melihat cubaannya menurunkan muka baru, Firmino membuahkan hasil. Firmino yang berpangkalan di Jerman menggantikan Luiz Adriano.

“Apabila saya memilih pemain untuk skuad ini, ramai yang bertanya kepada saya tentang Firmino, saya berkata dia mampu menjaringkan gol,” kata Dunga merujuk kepada pemain Hoffenheim itu.

Pemain berusia 23 tahun itu menggunakan peluang diberikan Dunga dan gembira dapat beraksi, tapi tidak pernah terfikir untuk menjaringkan gol.

“Impian saya terlaksana dapat berada di sini. Saya sangat gembira dapat masuk dan membantu rakan sepasukan, tetapi menjaringkan gol lebih baik, sangat menakjubkan,” kata Firmino.

Dia memberitahu majalah sukan Brazil, Lance, dia tidak dapat tidur sejak disenaraikan dalam skuad Brazil dua minggu lalu. Firmino turun buat kali pertama sebagai pemain simpanan ketika Brazil menumpaskan Turki 4-0.

Keputusan itu menyaksikan Brazil melepaskan gol buat kali pertama sejak Dunga mengambil alih pasukan.

Selecao cuba beraksi lebih positif termasuk memberi ruang kepada beberapa muka baru seperti Firmino dan penyerang Shakhtar Donetsk, Luiz Adriano manakala pemain tengah Porto, Casemiro yang tidak disenaraikan di Piala Dunia menggantikan tempat pemain Manchester City, Fernandinho.

Salah satu pertukaran yang terpaksa dilakukan ialah bekas ketua pasukan, Thiago Silva yang masuk menggantikan Miranda apabila pemain itu mengalami kecederaan hamstring pada separuh masa pertama.

Luiz membuka jaringan pada minit ke-64 selepas menyambar sepakan sudut Oscar.

Bagaimanapun, Oscar menghadiahkan penalti kepada pasukan lawan apabila mengasari Andreas Wiemann dan Dragovic tenang menyempurnakannya.

Pemain tengah Hoffenheim, Firmino mengesahkan kemenangan Brazil hasil rembatan daripada jarak 18 meter. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:07 AM