LUIZ (kiri) dan Silva lenyap kritikan penyokong.
LUIZ (kiri) dan Silva lenyap kritikan penyokong.
Reuters

London: David Luiz dan Thiago Silva sering dikritik di Paris St Germain kerana kelemahan mereka ketika bertahan, namun dua pemain Brazil itu menjadi wira yang tidak disangka-sangka awal pagi semalam apabila juara Perancis itu menyingkirkan Chelsea daripada Liga Juara-Juara.

Luiz menyamakan kedudukan empat minit sebelum tamat dengan tandukan kencang selepas gol pembukaan Gary Cahill pada minit ke-81 dan Silva menjadikan kedudukan 2-2 selepas Eden Hazard memberikan kelebihan buat tuan rumah menerusi sepakan penalti.

Keputusan itu sudah cukup membantu PSG yang beraksi 10 pemain mara ke suku akhir menerusi peraturan gol tempat lawan.

Ia bagaikan menebus kesilapan Silva apabila terdahulu dia memegang bola membolehkan pendahulu Liga Perdana, Chelsea menerima sepakan penalti pada masa tambahan yang tenang disempurnakan Hazard.

Bagaimanapun, Silva memuji aksi keseluruhan pasukan.

“Gol ini bukannya untuk membalas dendam,” katanya. “Saya amat gembira menjaringkan gol, tapi pasukan ini beraksi hebat selepas bermain kurang seorang pemain.

Tanda harga bekas pertahanan Chelsea, Luiz sebanyak £50 juta (RM276 juta) sering menjadi bahan ejekan kerana dia beberapa kali hilang tumpuan menyebabkan kekalahan PSG manakala persembahan Silva pada babak pertama musim ini menandakan dia belum pulih sepenuhnya daripada trauma kekalahan pada Piala Dunia, apabila tuan rumah Brazil tersingkir pada separuh akhir dengan kekalahan besar 1-7 di tangan Jerman.

Bagaimanapun awal pagi semalam, kedua-duanya bertindak cemerlang buat PSG, yang mungkin lebih mengharapkan Zlatan Ibrahimovic untuk menjaringkan gol selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama meletakkan kelab Perancis itu dalam keadaan sukar.

Namun, penyerang Sweden itu, yang sering gagal menemui semula persembahan terbaiknya, sekali lagi mengecewakan dan tidak banyak memberi sumbangan sebelum dibuang padang kerana terjahan ke atas Oscar.

“Silva dan Luiz pemain bertaraf dunia, saya gembira beraksi di samping mereka,” kata Ibrahimovic yang dibuang padang pada minit ke-31.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 9:58 AM