NEYMAR merembat kencang ke gawang Perancis.
NEYMAR merembat kencang ke gawang Perancis.
AFP

Paris: Jaringan cantik kapten Neymar membolehkan Brazil mencatat kemenangan 3-1 ke atas Perancis pada perlawanan persahabatan di Paris semalam, sekali gus mengekalkan rekod bersih Dunga sejak kembali membimbing pasukan.

Pertahanan Real Madrid Raphael Varane menanduk masuk gol pendahuluan tuan rumah di Stade de France, tetapi kelebihan itu dipadam Oscar pada lewat babak pertama.

Penyerang Barcelona Neymar mengawal bola hantaran Willian sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru gawang Perancis pada minit ke-57 untuk meletakkan pelawat di depan dan tandukan Luiz Gustavo memastikan kemenangan Brazil.

Brazil kini menang semua tujuh perlawanan berturut-turut sejak dibimbing Dunga selepas kekalahan teruk di tangan Jerman dan Belanda di Piala Dunia lalu.

Kemenangan terbaru ke atas Perancis pasti melegakan Dunga tambahan pula beliau bergelar kapten Brazil ketika mereka tewas 3-0 pada final Piala Dunia 1998.

“Di dalam bola sepak, kalah menang adalah adat, tetapi menewaskan pasukan kuat seperti Perancis adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan,” katanya. “Pasukan kami bermain baik tetapi masih belum sempurna. Kami masih lagi melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.”

Rakan sejawatnya di Perancis, Didier Deschamps pernah bergelar kapten Les Bleus ketika menang ke atas Brazil, 17 tahun lalu.

“Kami dihukum atas kesilapan kami sendiri,” kata Deschamps. “Walaupun Piala Dunia adalah trauma buat mereka, namun Brazil masih mempunyai pemain yang sangat bagus dan mereka juga layak ke separuh akhir.

“Bagus untuk kami apabila dapat berdepan situasi sukar malam ini. Kami akan belajar daripada kekalahan ini.”

Kehadiran Deschamps dan Dunga menambah keseronokan menyaksikan perlawanan yang dianggap sebagai ulangan final Piala Dunia 1998 sambil Persekutuan Bolasepak Perancis turut memberikan anugerah kepada semua pemain mereka yang menyarung jersi kebangsaan lebih 100 kali.

Marcel Desailly, Patrick Vieira, Thierry Henry serta Zinedine Zidane antara bekas pemain yang menerima anugerah disampaikan presiden Francois Hollande sebelum perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:15 AM