REAKSI pemain beregu campuran negara, Soon Huat (kiri) dan Shevon Jemie Lai (kanan) ketika menentang regu Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. -FOTO Asyraf Hamzah
REAKSI pemain beregu campuran negara, Soon Huat (kiri) dan Shevon Jemie Lai (kanan) ketika menentang regu Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. -FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai memburu hadiah perkahwinan paling berharga apabila mereka berjaya mara ke final Masters Malaysia selepas menumbangkan gandingan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Axiata Arena sebentar tadi.

Soon Huat-Shevon yang melangsungkan majlis resepsi awal bulan ini, mengakui jika berjaya menjulang trofi berkenaan, ia akan menjadi saat indah untuk dikenang sampai bila-bila sekali gus menamatkan penantian kejuaraan Super 500 selepas kali terakhir muncul juara di Terbuka Singapura 2018.

Mereka yang menduduki ranking ke-16 dunia mara ke final selepas menyingkirkan pilihan utama dengan mencatat kemenangan 21-11, 21-19 dan akan berdepan wakil Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari esok.

Rinov-Pitha Haningtyas mara ke final selepas mengetepikan pilihan kedua dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 26-24, 14-21, 21-18.

Menurut Shevon, selepas perkahwinan mereka aksi pertama adalah di Terbuka Thailand namun tersingkir di pusingan pertama.

"Minggu ini kami pulang ke Malaysia dan beraksi sehingga ke final, jadi kejuaraan (Masters Malaysia) bakal menjadi hadiah paling indah buat kami terutama beraksi di hadapan penyokong sendiri di Axiata Arena.

"Kami berharap dapat menamatkan kemarau meraih kejuaraan di laman sendiri selepas kali terakhir di Cabaran Antarabangsa Malaysia 2016 iaitu tahun yang sama kami mula digandingkan," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ditanya adakah kejayaan menumpaskan Tang Jie-Ee Wei adalah disebabkan momentum mereka menang dengan pasangan sama di final Terbuka Switzerland Mac lalu, Soon Huat berkata, mereka bukan mahu buktikan paling hebat sejak kemenangan itu.

"Tidak ada mahu menunjuk kami buat terbaik (berbanding Tang Jie), setiap kejohanan kita sudah faham sangat bahawa semua ingin menang. Dari sana kami nampak mereka emosional, kami pula mengawal emosional sendiri, tetapkan fikiran dan fokus dalam perlawanan," katanya.

Pada 29 Disember 2022, Soon Huat-Shevon mengumumkan pertunangan selepas dua tahun lebih bercinta dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 4 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 9:52 PM