Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis Perak menerima laporan berkaitan penyebaran berita palsu mengenai isu khutbah Jumaat yang dibacakan di semua masjid di negeri ini semalam, yang menyentuh amalan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu.

Susulan laporan yang diterima di Balai Polis Jelapang, di sini, hari ini, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kertas siasatan mengenainya sudah dibuka.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505b Kanun Keseksaan iaitu menyebarkan berita palsu dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

"Ada satu laporan (diterima) di Ipoh. (Jadi) kita masih jalankan siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ringkas sewaktu dihubungi hari ini.

Mohd Yusri berkata demikian ketika ditanya mengenai penerimaan laporan berkaitan isu khutbah berkenaan yang dibuat seorang bekas pemimpin negeri terhadap penyebaran video yang dikatakan bersifat hasutan dan tuduhan ketika mengulas isu khutbah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 9:48 PM