ANZALNA dan Hanif sulam cinta hampir lima tahun.
ANZALNA dan Hanif sulam cinta hampir lima tahun.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tempoh perkenalan selama 10 tahun membawa pelakon Anzalna Nasir, 27, dan Mohamad Hanif Mohd Zaki, 27,

kepada perhubungan lebih serius sejak hampir lima tahun lalu.

Menyedari jejaka yang hadir dalam hidupnya itu berbeza daripada teman lelaki yang dikenali sebelumnya, Anzalna tidak menunggu lama untuk membawa dan memperkenalkan Hanif kepada ibu bapanya.

“Apa saya boleh cakap, dalam banyak lelaki yang saya pernah berkawan sebelum ini, Hanif sangat istimewa. Sehinggakan selepas hari kedua perkenalan kami, saya terus ­membawanya berjumpa ibu bapa.

“Tujuannya adalah mendapatkan restu mereka. Alhamdulillah, mereka suka dan tak ada masalah,” katanya.

Menurut Anzalna, apa dilakukan itu sekali gus ­ingin membuktikan dia juga menaruh harapan dalam perhubungan itu. Sepanjang menjalin hubungan cinta, kata Anzalna, kekasihnya itu sabar menanti dan tidak pernah mendesak soal berumah tangga.

Mengiakan kata-kata pelakon Love You Mr Arrogant itu, Hanif yang juga eksekutif jualan di syarikat jualan kereta sangat memahami kerjaya sejak pembabitannya sebagai pelakon lagi.

“Kami sama-sama menunggu. Ketika mula mengenalinya saya belajar lagi dan selepas tamat pengajian, kami bersama-sama membina kerjaya sehingga berada pada kedudukan sekarang.

“Pada awalnya, saya sangat memahami kerjaya lakonannya yang baru nak berkembang. Apabila masing-masing sudah stabil, jadi tiba masanya untuk memikirkan alam perkahwinan pula,” katanya.

Kesibukan Anzalna itu ternyata membawa kepada keputusan untuk menangguhkan perkahwinan yang dijadual berlangsung awal tahun ini.

“Sebenarnya kami sudah merancang nak kahwin awal tahun ini, tetapi banyak pula tawaran yang datang. Satu daripadanya adalah telenovela Memori Cinta Suraya terbitan Global Station.

“Ikutkan saya nak tolak, tetapi pihak mereka tetap inginkan saya berlakon dalam cerita itu. Selepas berbincang dengan Hanif dan keluarga, kami ambil keputusan untuk tangguh dulu,” katanya.

Bagaimanapun, Anzalna bersyukur kerana selama hampir lima tahun hubungannya dengan Hanif, mereka tidak pernah dilanda masalah.

“Satu perkara yang saya suka mengenai Hanif adalah dia jenis setia. Selain itu, dia juga sangat bertanggung­jawab dan sentiasa bersikap romantik,” katanya.

Akhirnya, selepas hampir setahun Anzalna dan Hanif sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada 21 Februari 2016. Lebih istimewa, pasangan ini membuat pengumuman secara langsung hari bahagia mereka di program hiburan Melodi, baru-baru ini.

Pengumuman secara eksklusif itu diatur pihak stesen TV3 selaku penyiar rasmi majlis pernikahan Anzalna dan Hanif. Selain mendapat liputan eksklusif, perkahwinan Anzalna sudah mendapat tajaan daripada beberapa pihak seperti Dior, Cosry dan Rizman Ruzaini.

“Alhamdulillah, apabila saya beritahu nak kahwin ada beberapa pihak sudi menaja. Selepas semuanya mendapat kata putus, baru saya akan umumkan. Dalam soal penajaan saya terbuka, tetapi perlu pilih juga. Tidak terlalu mengharap, sebaliknya saya sedia membantu mereka. Pendek kata, sama-sama mendapat untung,” katanya.

Perkahwinan Anzalna akan disiarkan di beberapa program popular TV3 seperti Nona, Wanita Hari Ini, Melodi dan Mahligai Cinta.

Majlis pernikahan pasangan itu akan diadakan

di Masjid Negara, Kuala Lumpur disusuli majlis resepsi pada 27 Februari 2016 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, bertemakan perkahwinan ala diraja British.

Sementara itu, satu lagi majlis resepsi diadakan pada 3 April di Dewan Perdana FELDA Jalan semarak, bertemakan moden dan tradisional yang turut menjemput peminat.

“Bagi saya, ini adalah waktu sesuai untuk menghargai peminat selama ini. Dari mula sampai sekarang, mereka tak putus-putus menyokong saya. Apa dilakukan mereka selama ini membuatkan saya terharu.

“Tak keterlaluan jika dikatakan mereka adalah tulang belakang kerjaya saya. Tanpa peminat saya takkan kekal berada dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:01 AM