DATUK M Karathu. -FOTO NSTP
DATUK M Karathu. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berita mengenai Kelantan FC tidak lagi beraksi dalam saingan kompetitif jelas menyebabkan bekas ketua jurulatih pasukan terbabit Datuk M Karathu diselubungi perasaan sedih dan pilu mengenang nasib yang menimpa kelab berpangkalan di negeri pantai timur itu.

Kelantan FC kini sudah boleh dikatakan sudah hilang dari radar arena bola sepak tanah air sekali gus segala memori bersama pasukan itu ketika zaman kegemilangannya sebelum ini hanyalah tinggal kenangan.

Karathu berkata, Kelantan FC cukup istimewa kerana mampu melahirkan pemain berbakat hingga dipilih mewakili negara di pentas antarabangsa.

"Kelantan adalah satu jenama besar dalam bola sepak negara dan pastinya saya sedih apabila pasukan itu tidak ada lagi dalam liga. Ketika menjadi jurulatih Kelantan sebelum ini, saya lihat pasukan itu sebenarnya ada ramai pemain berbakat.

"Dulu pasukan berasaskan negeri yang ada sokongan daripada kerajaan namun sekarang sudah profesional sepenuhnya. Apabila sudah profesional, semua orang mahu 'masuk' dalam bola sepak tetapi paling penting jadikan semua ini sebagai pengajaran," katanya.

Mengikut rekod, Karathu pernah membimbing Kelantan dengan beliau berjaya membantu pasukan itu muncul juara Liga Super pada 2011.

Terdahulu, Presiden TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman dalam kenyataan mengesahkan penarikan diri pasukan itu dan akan fokus menyelesaikan beberapa masalah termasuk kes di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebelum kembali menyertai liga bola sepak pada masa akan datang.

Selain itu, Karathu berharap semua pengurusan bola sepak dapat bersikap profesional dalam menguruskan pasukan bagi mengelak masalah pada masa akan datang.

"Saya ikuti bola sepak di luar negara dan saya lihat tahap profesional mereka cukup baik tetapi tidak berlaku di sini. Tidak salah untuk sesiapa pun mahu masuk dalam industri bola sepak asalkan ada penasihat yang pakar tentang bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 9:59 PM