BERCITA-CITA tinggi untuk bergelar pelakon, yakin kemampuan diri.
BERCITA-CITA tinggi untuk bergelar pelakon, yakin kemampuan diri.
Oleh Nor Akmar Samudin


Kerana terlalu meminati Bront Palarae, dia menonton semua filem lakonan pelakon berkaliber itu.

“Saya mahu jadi seperti dia,” kata pelakon baru Nafiez Zaidi, 23.

Menurut Nafiez, lakonan Bront ada ‘style’ dan setiap watak dibawanya cukup berkesan.

“Saya juga mahu lakonan diingati penonton kerana itulah kejayaan sebenar seorang pelakon. Untuk pergi ke tahap itu saya kena terus berusaha. Walaupun menghadapi persaingan yang ramai, saya tidak gentar kerana rezeki ada di mana-mana,” kata jejaka asal Kangar, Perlis ini.

Walaupun masih agak kaku dan terlalu ‘berjaga-jaga’ apabila diminta bergaya di depan lensa kamera, Nafiez bercita-cita tinggi untuk bergelar pelakon dan dia yakin de­ngan kemampuannya.

“Saya memang bercita-cita menjadi pelakon. Ibu saya Haryati Mansor hampir jadi pelakon, tetapi nenek tidak izinkan. Kini apabila saya mahu berlakon, ibu memberikan sokongan penuh,” katanya.

Nafiez berterima kasih kepada syarikat produksi Zeel Production yang memberinya peranan sebagai pelakon pembantu dalam drama Besan Tiga Segi.

“Walaupun saya belum terkenal, tetapi tawaran berlakon banyak. Biarpun hanya diberi watak pembantu, tetapi ia permulaan yang baik untuk saya. Ada pelakon yang menjadi hero sekarang mengambil masa bertahun-tahun untuk berjaya ,” katanya yang memiliki diploma dalam bidang ukur bahan dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Jitra, Kedah.

Drama lain lakonan Nafiez ialah Taboh Merdeka, Kiah The Spy, Lilinkah Aku, Khilaf Sang Pencinta, Memori Cinta Suraya dan Hello Mr Perfect.

Memori Cinta Suraya kini ditayangkan di saluran Astro Bella dan Mustika HD di mana Nafiez memegang watak Tariq.

“Watak itu mencabar dan dipenuhi percintaan, pergaduhan serta kerap bermain dengan perasaan. Pembabitan saya bukan hanya sebagai pelakon, tetapi turut belajar cara bekerja di belakang tabir dengan tiga pengarahnya iaitu Mohamed Feroz Kader, Ijam dan Rizza,” katanya yang turut meminati lakonan Johnny Depp.

Selain itu, Nafiez juga tidak bersikap atau mementingkan diri sendiri.

Menurutnya, jika ada watak yang dia rasa tak mampu untuk dibawakan, dia akan lepaskannya kepada pelakon lain.

“Biarlah saya belajar sedikit demi sedikit. Saya tidak mahu terlalu memaksa diri. Kalau boleh saya tidak mahu jadi pelakon yang statik. Mesti ada perubahan dalam setiap peranan yang diberi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:00 AM