VEENA bijak ambil peluang tampil kreativiti hasil rekaan mewah.
VEENA bijak ambil peluang tampil kreativiti hasil rekaan mewah.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Industri fesyen dilihat semakin progresif dengan kelahiran ramai pereka berbakat bertaraf antarabangsa, malah ada antaranya mampu menempa nama di persada yang lebih besar dan membawa nama Malaysia sebaris ikon fesyen terkenal dunia.

Veena Hijab & Couture mengorak selangkah ke hadapan dengan mengambil peluang mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa menerusi koleksi bertemakan bunga dan renda sempena Minggu Fesyen Dunia Malaysia 2017 (WFW 2017).

Tampil dengan rekaan sesuai untuk segenap lapisan masyarakat, pereka Veena Hijab & Couture, Veena Azmi berkata, koleksi dihasilkannya sesuai untuk semua usia, budaya dan keturunan, sekali gus menyatukan masyarakat seluruh dunia menerusi fesyen.

Mengambil inspirasi daripada bunga, tema itu menurutnya berkaitan dengan perasaan cinta pandang pertama yang disematkan dalam rekaannya.

Meskipun masih setahun jagung dalam rekaan couture, Veena bijak mengambil peluang itu untuk menampilkan kreativiti tersendiri dalam menghasilkan rekaan mewah bersesuaian dengan pasaran antarabangsa.

Katanya, koleksi couture didatangkan hanya satu helaian untuk satu rekaan bagi memberi nilai eksklusif malah direka khusus untuk individu yang menempahnya.

Veena berkata, rekaannya lebih bersifat universal dan boleh digayakan oleh sesiapa saja termasuk mereka yang berhijab kerana setiap rekaan boleh disesuaikan mengikut cita rasa dan kreativiti masing-masing.

“Anda boleh gayakan dengan aksesori tambahan seperti jaket, legging, celana sendat atau pakaian tambahan bahagian dalam supaya ia menutup aurat dan sesuai dengan imej Muslimah.

“Dalam rekaan kali ini, saya tampilkan koleksi bertemakan flora dan renda termasuk rekaan yang dibuat daripada kain sari dan renda Perancis untuk memberi kelainan dan keunikan kepada pemakai,” katanya.

Meskipun pertunjukan fesyen itu menetapkan rekaan perlu berciri antarabangsa, Veena bijak menampilkan tiga model Muslimah dengan memadankan koleksi couture dan mengubah hiasan kepala sebagai aksesori kontemporari seperti turban dan lilitan selendang.

“Jadi tiada langsung kelihatan kelibat tudung dalam pertunjukan ini walaupun sebenarnya salah seorang model memakai selendang berwarna coklat muda yang saya lilitkan di belakang seperti sanggul.

“Manakala seorang lagi model dipakaikan tudung bawal organza biru yang dililit menjadi turban dan ditambah aksesori. Jadi, secara tidak langsung sebenarnya memberi ruang untuk saya menzahirkan kreativiti tersendiri dan tidak menyekat karya meskipun terdapat kekangan dalam menampilkan ciri Muslimah di persada antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, dia turut menghasilkan rekaan istimewa iaitu cetakan corak bunga raya khusus sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini digayakan model hamil sebagai ikon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 10:52 AM