Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama, Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman ketika sesi Mobile Journalism (MoJO) bersama siswa sempena Jelajah HAWANA 2024 di Pustaka Negeri Sarawak di Petra Jaya, hari ini. FOTO BERNAMA
Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama, Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman ketika sesi Mobile Journalism (MoJO) bersama siswa sempena Jelajah HAWANA 2024 di Pustaka Negeri Sarawak di Petra Jaya, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuching: Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi zon Sarawak memberi gambaran sebenar kepada mahasiswa mengenai industri kewartawanan dengan menyentuh topik yang relevan dalam era digital pada masa kini.

Inisiatif anjuran buat julung kalinya sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 itu membabitkan beberapa sesi perkongsian bersama pemain industri media tempatan, sekali gus mengupas aspek yang sinonim dengan dunia kewartawanan seperti kewartawanan peranti atau 'mobile journalism (MOJO), semak fakta serta penggunaan media sosial.

Mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Mohamad Akmal Husin, 21, berkata sebagai pelajar Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, program sedemikian memberi manfaat kepadanya untuk meneroka ilmu kewartawanan daripada perspektif yang berbeza selari dengan kemajuan teknologi.

"Saya suka mengikut program ini dan berharap di masa akan datang, ada lagi program pembuka mata seperti ini kerana topik yang disampaikan amatlah relevan dengan dunia kewartawanan kini.

"Topik lain yang boleh dikupas pada masa akan datang adalah mengenai celik media sebab masih ramai yang kurang cakna dengan kepentingan memastikan maklumat yang mereka baca itu sahih," kata anak jati Sandakan, Sabah itu.

Menjadikan wartawan sebagai kerjaya impiannya, Mohamad Akmal berharap untuk membuka mata masyarakat akan kepentingan kecelikan media menerusi penulisannya suatu hari ini.

Dalam pada itu, program jelajah berkenaan yang bermula jam 9 pagi pagi sehingga 4 petang di Pustaka Negeri Sarawak turut menarik perhatian pelajar luar bidang komunikasi untuk menceburi bidang kewartawanan.

Mahasiswa Universiti Teknologi Swinburne, Ng Ting Wei, 21, berkata meskipun beliau adalah pelajar Fakulti Perniagaan, Seni dan Reka Cipta, minat untuk mengetahui perkembangan isu-isu semasa mendorongnya untuk menyelami dunia media, seterusnya bergelar wartawan suatu hari nanti.

Mahasiswa dari Kuala Lumpur itu berkata inti pati program berkenaan seperti semak fakta dan kecerdasan buatan (AI) membuka peluang kepadanya untuk bertukar buah fikiran secara bersemuka dengan pengamal media yang mengendalikan sesi bersama pelajar.

"Saya secara peribadi suka hal ehwal semasa dan politik tetapi saya merasakan kewartawanan telah menjadi bidang yang kurang jelas yang tiada siapa yang sanggup mencerobohnya, tetapi wartawan masih diperlukan walaupun dalam era AI kerana sentuhan kemanusiaan (human touch) untuk menyebarkan maklumat masih penting untuk bukan sekadar fakta. -periksa dan jadikan ia menarik kepada khalayak yang lebih luas," katanya.

Wartawan Kanan Meja Digital Media Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman berkata sesi MOJO yang dikendalinya mendapat sambutan baik apabila peserta program berkenaan menunjukkan minat untuk menyelami dunia kewartawanan.

"Suasana juga sangat interaktif dan mesra, ini menunjukkan mereka benar-benar ingin belajar apa yang diharungi seseorang wartawan itu apabila berada di lapangan terutama cabaran sewaktu melaporkan berita secara keseorangan dan 'MOJO', daripada menulis berita sehingga merakam video dan gambar," katanya.

Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa adalah antara pengisian HAWANA 2024, dengan penglibatan 250 mahasiswa dari UNIMAS, Swinburne University of Technology Sarawak dan Kolej SEGi Sarawak.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi terpilih tentang dunia media melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media, selain menanam minat bidang kewartawanan kepada pelajar dan mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan.

Program jelajah ini diadakan di enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan dengan enam universiti dipilih untuk menerima sumbangan bagi kegunaan fakulti komunikasi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 8:25 PM