Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan mensasarkan pendapatan negara kasar (PNK) bagi bio-ekonomi menjelang 2020 sebanyak RM48 bilion sekali gus menarik pelaburan bernilai RM50 bilion serta mewujudkan 170,000 peluang pekerjaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bidang bio-ekonomi di negara ini sudah berkembang serta menjadi antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi di negara ini dan bidang berkenaan berpotensi untuk terus berkembang.

"Daripada 2011 sehingga kini, jumlah pelaburan hasil industri berasaskan bio-ekonomi mencatatkan nilai sebanyak RM18.98 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan hanya RM9 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2015.

"Ini adalah agenda penting dalam menjadikan ekonomi negara ini berimpak tinggi sekali gus mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi sejajar dengan sasaran kerajaan," katanya ketika memberi ucapan perasmian Bio-Malaysia dan Bio-Ekonomi Asia Pasifik 2014, di sini, sebentar tadi.

Beliau turut menyarankan kepada semua universiti serta pusat penyelidikan di negara ini supaya terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam membekalkan tenaga mahir dalam sektor industri berasaskan bio-ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 1:56 PM