MADIUS (tengah) mendengar penerangan ketika lawatan tapak pameran.
MADIUS (tengah) mendengar penerangan ketika lawatan tapak pameran.
Muhamad Hussin

Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan dan perdagangan sempena Ekspo Astana 2017 bernilai RM6.8 bilion (AS$1.6 bilion) dalam dua minggu pertama penganjuran ekspo berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pihaknya menjangka dapat melihat lebih banyak perdagangan dan kerjasama yang berpotensi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) antara Malaysia dan Kazakhstan.

Beliau berkata, Malaysia bercita-cita menjadi pemimpin pasaran yang muncul dalam bioekonomi dan berharap Ekspo Astana 2017 akan meletakkan Malaysia di peta dunia.

“Industri berasaskan bio antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan inovasi berasaskan bio digerakkan untuk meningkatkan daya saing negara.

“Dalam bioekonomi ini, syarikat berasaskan bio berfungsi sebagai tonggak utama untuk menarik pelaburan strategik, menjana pendapatan dan mewujudkan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Inovasi Hijau - Menjana Minggu Depan Anda di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Astana 2017 di Astana, Kazakhstan, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr Tan Yew Chong dan Duta Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman.

Pada majlis itu, syarikat Malaysia menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) mengenai inovasi hijau bernilai RM215 juta sempena minggu ketiga ekspo berkenaan.

Ekspo Astana 2017 berlangsung selama tiga bulan mulai 10 Jun lalu hingga 10 September depan membabitkan lebih 100 negara yang memfokuskan tenaga masa depan.

Madius berkata, tiga syarikat dari Malaysia menandatangani MoU berkenaan dengan beberapa negara termasuk Kazakhstan.

Beliau berkata, antara syarikat terbabit ialah Free The Seed Sdn Bhd dengan Nusantara Associates Ltd (LLP) Kazakhstan.

“Manakala MoU antara Nusantara dan Ronser Biotech Bhd dan dua lagi antara syarikat iCycle Sdn Bhd dengan Guangzhou Tianhe dan iCycle dengan syarikat Kerala, India,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 8:05 AM