DR Ewon (tengah)  menunjukkan pelan pameran bersama Noorul Ainur dan  Dr Mohd Nazlee selepas sidang media Persidangan dan Pameran BioMalaysia & ASEAN Bioekonomi 2015.
DR Ewon (tengah) menunjukkan pelan pameran bersama Noorul Ainur dan Dr Mohd Nazlee selepas sidang media Persidangan dan Pameran BioMalaysia & ASEAN Bioekonomi 2015.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Persidangan dan Pameran BioMalaysia & ASEAN Bioekonomi 2015 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Ogos ini memperkenalkan aspek perniagaan kepada pengguna dengan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan bioproduk kesihatan diri, sekali gus memberi impak kepada ekonomi negara dan rantau ASEAN.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin berkata, pasaran kesejahteraan diri kini mencecah sehingga RM12.96 trilion (AS$3.4 trilion) dan ia jelas menunjukkan sektor berkenaan terus berkembang pesat.

“Menerusi sokongan daripada agensi seperti BiotechCorp, kementerian komited dalam menyediakan keperluan dan fasiliti yang dapat membantu menggerakkan agenda bioekonomi Malaysia dalam memastikan negara berdaya saing, inovatif dan makmur.

“Kita mahu Malaysia menjadi pintu masuk untuk bioekonomi ASEAN dan mewujudkan lebih banyak sokongan, holistik dan persekitaran bersepadu bagi bioekonomi di rantau ini,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Sementara itu, beliau berkata, persidangan bertemakan ‘ASEAN Bioeconomy: Biodiversity to Wellness’ (Bioekonomi ASEAN: Biodiversiti Untuk Kesejahteraan Diri) diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dijangka menarik lebih 10,000 pelawat serta 250 peserta pameran termasuk sebuah pavilion antarabangsa daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Malaysia juga tidak terkecuali mempamerkan teknologi, inovasi dan produk terkininya daripada 250 syarikat bioteknologi,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung persidangan ini boleh menghubungi talian 03-58916679 atau e-mel ke biomalaysia@myevents. com.my.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web www.biomalaysia.com.my dan www.biotechcorp.com. my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:03 AM