DUA kanak-kanak menggunakan besin untuk meredah jalan raya yang dinaiki air di Candaba, Pampanga di utara Manila, semalam.
DUA kanak-kanak menggunakan besin untuk meredah jalan raya yang dinaiki air di Candaba, Pampanga di utara Manila, semalam.
Agensi

Manila: Pemberontak komunis di Filipina mengambil kesempatan dengan keadaan bercelaru yang berpunca daripada taufan Melor untuk menyerang konvoi tentera yang menghantar bantuan kepada mangsa.

Seorang pegawai pengurusan bencana berkata, serangan awal semalam itu menyebabkan dua askar cedera.

“Konvoi tentera itu diserang hendap ketika menghantar bantuan makanan kepada penduduk di kawasan yang dilanda taufan,” kata pegawai berkenaan, Alexander Pama.

Pemberontak berkenaan dari Tentera Rakyat Baru melancarkan kempen memerangi kerajaan sejak 40 tahun lalu. Serangan semalam dilancarkan lima hari sebelum gencatan senjata sebelah pihak yang diisytiharkan mereka.

Sementara itu, 41 orang terbunuh akibat taufan berkenaan. Empat orang masih hilang dan hampir 750,000 dipindahkan ke pusat bantuan dengan kebanyakannya dijangka meraikan Krismas di situ.

Agensi pengurusan bencana menganggarkan nilai kemusnahan kemudahan asas dan tanah pertanian berpunca daripada Melor melebihi 935 juta peso.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:31 AM