Yangon: Tentera kerajaan yang bertempur dengan pemberontak etnik berhampiran sempadan China menemui mayat 13 pemberontak dan menahan lapan yang lain.

Pertempuran yang meletus sejak beberapa hari lalu adalah antara yang paling sengit berlaku sepanjang tempoh dua tahun dan mengancam menjejaskan usaha kerajaan untuk menandatangani gencatan senjata dengan pelbagai kumpulan etnik yang berjuang untuk membentuk kerajaan sendiri sejak puluhah tahun lalu.

Akhbar Myanmar Ahlin semalam melaporkan, pasukan tentera menemui 13 mayat dan menangkap lapan pemberontak yang cedera serta merampas 98 senjata.

Sementara itu, 47 askar tentera kerajaan terbunuh manakala lebih 70 lagi cedera dalam peringkat awal pertempuran yang turut membabitkan serangan udara dilancarkan kerajaan terhadap kedudukan pemberontak.

Pemberontak Kokang ialah sebahagian daripada Parti Komunis Myanmar sehingga satu gencatan senjata ditandatangani pada 1989 dengan kerajaan junta yang diketuai tentera ketika itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:09 AM