POLIS antirusuhan Turki mengepung penunjuk perasaan yang membawa bendera dan gambar pemimpin Kurdis dalam tahanan Abdullah Ocalan ketika mereka mengadakan protes terhadap operasi keselamatan terbaru
POLIS antirusuhan Turki mengepung penunjuk perasaan yang membawa bendera dan gambar pemimpin Kurdis dalam tahanan Abdullah Ocalan ketika mereka mengadakan protes terhadap operasi keselamatan terbaru
Reuters

Diyarbakir, Turki: Jet pejuang tentera Turki mengebom kedudukan pemberontak Kurdis malam kelmarin selepas satu serangan hendap kumpulan itu menyebabkan 31 askarnya terbunuh.

Serangan hendap pemberontak itu dianggap yang paling banyak meragut nyawa askar Turki selepas gencatan senjata selama dua tahun berkubur Julai lalu.

Tentera Turki mengesahkan askar mereka terbunuh dalam serang hendap itu, tetapi tidak menyatakan angka korban.

Operasi terhadap kumpulan pemberontak itu diteruskan semalam dengan helikopter menurunkan anggota pasukan khas di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Iraq.

Pesawat tanpa juruterbang atau dron pula dihantar bagi mengenalpasti sasaran untuk dibom jet pejuang.

Pertempuran terbaru itu tercetus beberapa minggu sebelum parti pemerintah berharap dapat menguasai semula majoriti di Parlimen dalam pilihan raya negara itu.

Perkembangan itu menyaksikan proses damai yang diusahakan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2012 bagi mengakhiri pemberontakan yang meragut lebih 40,000 nyawa berakhir.

Pemberontak dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK) berkata, pejuangnya membunuh 31 askar kerajaan dalam serangan terhadap konvoi tentera dan pertempuran di kawasan pergunungan Daflica kelmarin.

Satu sumber keselamatan memberitahu Reuters seramai 16 askar terbunuh, angka korban paling besar dalam satu serangan pemberontak dalam tempoh beberapa tahun.

Recep dalam wawancara televisyen lewat kelmarin memberitahu kerajaannya kini lebih berazam dalam memerangi PKK.

Katanya, lebih 2,000 pemberontak PKK terbunuh sejak pertempuran tercetus semula Julai lalu.

Kekacauan yang tercetus menimbulkan keraguan mengenai jaminan keselamatan menjelang pilihan raya pada 1 November ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pilihan raya berkenaan tetap diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:09 AM