PENDUDUK di bandar La Paz, selatan Manila  berlindung di bumbung rumah mereka selepas kawasan berkenaan di naiki air.
PENDUDUK di bandar La Paz, selatan Manila berlindung di bumbung rumah mereka selepas kawasan berkenaan di naiki air.

Manila: Ribut baru dengan hujan lebat dijangka melanda selatan Filipina hari ini ketika penduduk di utara negara itu bergelut dengan banjir selepas Taufan Melor membadai wilayah berkenaan.

Ribut baru yang dinamakan ‘Onyok’ dilapor menghala ke Mindanao selepas Melor bergerak lebih jauh ke utara menuju Laut China Selatan setelah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.

Melor membadai timur negara itu Isnin lalu dan kemudian menyebabkan banjir besar di wilayah tengah dan utara kepulauan berkenaan.

Meskipun Taufan Melor meninggalkan Filipina kelmarin, banjir sedalam semeter masih menenggelamkan sebahagian kawasan pertanian yang terletak kira-kira sejam pemanduan di utara Manila.

Pegawai pengurusan bencana tempatan berkata, paras banjir dijangka meningkat apabila air dari bahagian lain pulau Luzon mengalir ke dataran rendah itu.

Bagaimanapun, sebahagian penduduk masih bertahan di rumah mereka dengan berlindung di atas bumbung kerana yakin ia tidak akan tenggelam.

Sementara itu, di Mindanao, yang dijangka dibadai Onyok hari ini, persiapan menghadapinya sudah dilakukan.

Filipina dilanda kira-kira 20 ribut dan taufan, kebanyakannya menyebabkan kematian.

Taufan Washi yang melanda Mindanao pada 2011 meragut 1,200 nyawa sementara setahun selepas itu, 1,900 orang mati apabila pulau di selatan Filipina itu dibadai Taufan Bopha. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:13 AM