SEORANG penduduk kampung mengangkat barangan miliknya sambil meredah banjir di wilayah Sorsogon, selatan Manila, semalam.
SEORANG penduduk kampung mengangkat barangan miliknya sambil meredah banjir di wilayah Sorsogon, selatan Manila, semalam.
Agensi

Manila: Penduduk di kawasan luar bandar Filipina yang dibadai taufan Melor terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah apabila banjir melanda kawasan kediaman mereka, semalam.

Pihak berkuasa berkata, jumlah kematian akibat taufan berkenaan kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 11 orang.

Dalam pada itu, hujan lebat di bandar Manila malam kelmarin menyebabkan jalan raya dinaiki air dan menjejaskan aliran trafik.

Bagaimnapun, keadaan semakin reda menjelang pagi semalam.

Jumlah kematian meningkat selepas pihak berkuasa di Mindoro, pulau pertanian dengan kepadatan penduduk 1.2 juta, kira-kira 120 kilometer ke selatan Manila, melaporkan tujuh penduduk terbunuh di situ.

Gabenor Mondoro, Aurelio Umali berkata air naik dengan pantas di beberapa bahagian pulau itu dan memaksa penduduk berlindung di bumbung rumah masing-masing.

Sebelum ini, empat orang dilaporkan terbunuh di Samar, timur Filipina, kawasan pertama taufan Melor melanda selepas merentas Lautan Pasifik pada Isnin lalu

Taufan berkenaan juga menyebabkan jutaan penduduk terputus bekalan elektrik di timur Filipina dan tiada jaminan bekalan itu akan disambung semula sebelum Krismas.

Majlis bencana Filipina juga berkata, sehingga semalam, kira-kira 120,000 orang masih berada di tempat perlindungan.

Dalam pada itu, pegawai cuaca berkata, ia memantau satu lagi ribut petir yang bergerak di timur Pasifik berhampiran Mindanao, pulau di selatan negara itu.

Purata 20 taufan membadai Filipina setahun, kebanyakannya menyebabkan kematian, dengan yang terkuat selalunya berlaku pada hujung tahun.

Oktober lalu, taufan Kop- pu menyebabkan 54 kematian dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah selepas ia membadai kawasan tanaman padi di utara negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 10:52 AM