DUA kanak-kanak menggunakan peti sejuk yang sudah tidak boleh digunakan untuk meredah banjir di Candaba, Pampanga, utara Manila, semalam.
DUA kanak-kanak menggunakan peti sejuk yang sudah tidak boleh digunakan untuk meredah banjir di Candaba, Pampanga, utara Manila, semalam.
Agensi

Manila: Kerajaan Filipina semalam mengisytiharkan ‘keadaan bencana’ selepas hujan lebat melanda seluruh negara itu semalam, menyebabkan lebih banyak kawasan banjir.

Jumlah kematian akibat cuaca buruk sepanjang minggu lalu meningkat kepada 41, menurut laporan yang disahkan agensi pengawasan bencana peringkat kebangsaan dan tempatan.

Pihak berkuasa tempatan di Mindanao berkata, kawasan pertanian di pulau di selatan Filipina itu dinaiki air semalam selepas tebing dua sungai utama pecah.

Ribut petir Onyok yang membadai pulau berkenaan kelmarin semakin lemah, tetapi hujan lebat yang dibawanya masih berterusan.

Angin sejuk monsun yang bertiup dari timur laut membawa hujan ke Luzon, pulau utama negara itu, memburukkan lagi keadaan di kawasan pertanian di utara Filipina yang sebelum ini dinaiki air, akibat daripada Taufan Melor.

Ia berlaku ketika penduduk masih lagi belum pulih daripada kesan Taufan
Koppu yang melanda Oktober lalu.

“Hampir seluruh Filipina mengalami hujan. Lebih banyak kawasan dijangka dinaiki air,” kata pegawai kaji cuaca Robert Badrina.

Dalam kenyataannya untuk mengisytiharkan ‘keadaan bencana’ seluruh negara, Presiden Benigno Aquino mengarahkan agensi kerajaan mempercepatkan usaha menyelamat dan memindahkan mangsa.

Menerusi kenyataan yang dibacakannya itu, kerajaan juga akan mengawal harga barangan keperluan asas.

Hampir 10,000 penduduk dipindahkan di daerah Caraga, kawasan pertanian di Mindanao sebelum Onyok membadai.

Di Luzon, 140,000 penduduk yang dipindahkan akibat banjir dan tanah runtuh, kesan daripada Melor, masih berada di pusat pemindahan.

Filipina dengan penduduk 100 juta orang berdepan dengan purata 20 taufan setiap tahun, kebanyakannya menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:08 AM