SEBUAH pesawat Philippine Airline dilihat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila.  Menurut pihak berkuasa, banyak penerbangan dibatalkan kerana jangkaan cuaca buruk kesan daripada Taufan Haima.  - EPA
SEBUAH pesawat Philippine Airline dilihat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila. Menurut pihak berkuasa, banyak penerbangan dibatalkan kerana jangkaan cuaca buruk kesan daripada Taufan Haima. - EPA
AP

Manila: Jutaan penduduk Filipina semalam diarah bersiap sedia menghadapi antara taufan terkuat pernah membadai negara itu.

Pihak berkuasa memberi amaran mengenai ombak besar, ribut petir dan angin kencang yang dibawa Taufan Haima.

Menurut mereka, taufan berkenaan diramal melanda kawasan pedalaman di utara jauh negara itu kira-kira jam 11 malam semalam dan angin yang dibawa bersama-samanya sama kencang dengan yang dibawa Taufan Haiyan yang meragut lebih 7,350 nyawa pada 2013.

“Bukan saja hujan lebat dan angin kencang yang kami jangka. Banjir, tanah runtuh, ribut petir di kawasan pantai juga mungkin berlaku. Mereka yang berada di kawasan itu - anda dalam bahaya. Cari tempat selamat,” kata Ketua Pusat Penyelaras Bencana dan Penerangan di Kementerian Dalam Negeri, Allan Tabel, menerusi televisyen, semalam.

Agensi Pengurusan Ancaman Bencana berkata, lebih 10 juta penduduk di Luzon, pulau utama Filipina akan terjejas.

Biro Cuaca negara itu berkata, setakat petang semalam, Haima menuju ke Filipina dengan angin selaju 225 kilometer sejam.

Penduduk di kawasan pantai diberi amaran, ombak setinggi lima meter mungkin menghempas darat apabila Haima membadai negara itu.

Haima diramalkan melepasi Luzon esok sebelum menuju ke Hong Kong dan selatan China.

Ia taufan kedua membadai utara Filipina dalam masa seminggu selepas Sarika yang menyebabkan dua orang mati dan tiga hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:47 AM