MELAYAN pelanggan pada hujung minggu.
MELAYAN pelanggan pada hujung minggu.
AILAA (kiri) bersama pekerja yang menjadi tulang belakang Nu’Della selama ini.
AILAA (kiri) bersama pekerja yang menjadi tulang belakang Nu’Della selama ini.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Butir bicara yang disampaikan tidak menggambarkan usianya yang baru mencecah 20 tahun. Jika tidak kerana kematangan fikiran dan minat yang ditunjukkan sebelum ini tidak mungkin ibunya, Norulhana Abd Razak berani me­nyerahkan tanggungjawab kepada Nur Ailaa Borhan bagi menguruskan perniagaannya.

Gadis muda ini kini menguruskan sepenuhnya Nu’Della Holistik Spa yang bukan saja menyediakan perkhidmatan kecantikan dari hujung rambut hingga kaki, tetapi juga Akademi Nu’della yang memberikan kursus dandanan rambut, andaman, solekan dan rawatan selepas bersalin selain asas pengurusan syarikat termasuk menguruskan akaun, dokumen syarikat dan pemasaran kepada sesiapa yang ingin menyertainya.

Ketika ditemui di Nu’Della Spa di Bandar Baru Bangi, Nur Ailaa yang masih menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, mengakui pada mulanya dia agak gentar apabila diberi tanggungjawab untuk menyambung legasi perniagaan yang diwarisi daripada ibunya.

“Ibu mengatakan sudah sampai masanya dia mahu berehat. Dia ingin memberikan tumpuan kepada ibadat dan meluangkan masa untuk diri sendiri. Pada mulanya memang ada rasa tidak yakin, namun saya menyahut cabaran ini kerana saya sendiri sudah didedahkan dengan ilmu perniagaan sejak berusia 10 tahun lagi,” katanya.

Sejak kecil anak bongsu empat beradik ini menunjukkan minat dalam bidang kecantikan dan sering bertanya mengenai perniagaan yang dijalankan. Sebab itu dia mula mengambil Diploma Kecantikan dan Diploma Dandanan Rambut di Azua Management. Hasilnya dengan ilmu yang ditunjukkan ibu, pada usia 16 tahun Ailaa sudah mampu mengendalikan pelanggan pertama yang menjalani rawatan wajah di spa.

“Sejak kecil saya sering mengikut ibu ke spa dan melihat ibu berurusan dengan pelanggan. Sejak itu timbul minat apabila melihat ibu membantu wanita lain untuk lebih sihat dan cantik. Saya mula mempelajari sedikit demi sedikit setiap perkhidmatan yang ditawarkan di spa. Sehingga pada usia 16 tahun ibu memberi peluang saya menguruskan pelanggan pertama.

“Alhamdulillah ia sangat menggembirakan saya apabila pelanggan memberikan maklum balas positif selepas menjalani rawatan. Lama-kelamaan cinta saya semakin kuat dalam bidang ini dan berasakan inilah yang akan saya lakukan selepas tamat pengajian kelak,” katanya.

Pengurusan di hujung jari

Mengendalikan spa berkonsepkan Muslimah sepenuhnya memberikan cabaran kepada gadis manis ini kerana zaman yang dilalui ibu dan juga dirinya terlalu jauh berbeza. Ibu menggunakan pemasaran secara konvensional, tetapi kini kehadiran media sosial menjadikan pengiklanan di Facebook, Twitter dan Instagram tidak boleh ditinggalkan.

Sedikit demi sedikit Ailaa mula merancang strategi pemasaran berkesan sesuai kehendak semasa. Namun pada masa sama dia masih mendapatkan pandangan ibu kerana dia orang lama dan lebih berpengalaman.

“Ibu selalu nasihatkan saya supaya berfikir dan keluar daripada kebiasaan. Pasaran dalam bidang kecantikan terlalu luas. Walaupun semakin banyak spa namun pasarannya tetap ada. Apa yang penting berikan kelainan dan buat apa yang orang lain tidak buat.

“Saya juga perlu menguasai semua perkara berkaitan kecantikan daripada hujung rambut hingga kaki. Bukannya hanya mengharapkan pekerja saja. Cari ilmu seba­nyak mungkin kerana dengan ilmu akan membezakan kita dengan orang lain,” katanya yang pernah belajar di Mesir selama sebulan bagi melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu.

Dalam soal pengurusan masa, bagi Ailaa ia tidak menjadi masalah kerana semuanya berada di hujung jari saja. Jika diikutkan memanglah jadual hariannya sangat padat tambah pula jurusan undang-undang yang diambil memerlukannya banyak membaca.

“Saya akui zaman sudah berubah. Jika dulu kita perlu berada di pejabat bagi menguruskan pelbagai perkara, tetapi kini dengan mencipta sistem ia lebih memudahkan kita memantau aktiviti perniagaan tanpa perlu berada di sana. Saya menghadiri kelas seperti biasa, tetapi saya tahu apa yang berlaku di spa, berapa ramai pelanggan yang datang serta apa dilakukan mereka kerana semuanya dimasukkan di dalam sistem.

“Pekerja juga akan memberikan maklumat terkini mengenai pengurusan syarikat. Jadi walau berada di mana saja saya masih dapat menguruskan syarikat. Jika tiada kelas atau pada hujung minggu saya akan berada di spa,” katanya yang turut menjadi juruterapi dan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

Oleh kerana pengalaman yang dimilikinya Ailaa juga mempunyai pelanggan tetap terdiri daripada wanita yang suka akan sentuhan urutan dan rawatan wajah yang diberikan.

Manfaatkan masa muda

Tidak seperti remaja lain yang banyak menghabiskan masa bersama rakan, Ailaa komited dengan apa yang dilakukannya. Malah sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ailaa terus mengambil kelas intensif dengan ibunya secara tidak formal selama enam bulan dan mempelajari bagaimana menjadi pengurus yang baik. Ailaa juga diajar berurusan dengan pekerja, pelanggan dan persediaan menjadi jurucakap untuk berhadapan dengan media.

“Saya juga terus membuat rawatan rambut, wajah dan badan untuk pelanggan. Ia sememangnya mencabar namun daripada situ saya tahu selok-belok perniagaan dan memperbaiki kelemahan,” katanya.

Mengekalkan konsep Islamik yang diperkenalkan ibunya, bagi Ailaa apa yang dicari wanita ada di Nu’Della. Ini kerana Nu’ Della mengetengahkan rawatan moden dan tradisional berkonsepkan Malaysian Holistik Spa bukan saja dari segi perkhidmatan tetapi reka bentuk dalaman. Bahan digunakan juga semuanya 100 peratus semula jadi seperti herba dan akar kayu yang diproses untuk kegunaan perawatan. Malah semua pekerja wanita berpengalaman dan sudah menjalani latihan khusus dalam bidang kecantikan.

“Di sini kami sangat menjaga aurat pelanggan Islam. Pelanggan juga tidak perlu bimbang mengenai privasi mereka kerana ia sememangnya terjaga,” katanya.

Ailaa berharap apa yang dilakukan kini akan lebih berjaya terutama dalam mengetengahkan spa berkonsepkan Islam. Dia juga menyeru golongan muda untuk sama-sama membina peluang perniagaan dengan mendalami ilmu dalam bidang kecantikan. Mereka boleh me­ngambil kursus jangka pendek selama tiga atau lima hari atau kursus spa selama sebulan. Untuk maklumat lanjut boleh melayari Facebook nudella atau Instagram islamicspapractice.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 12:58 PM