RAWATAN rambut bagi mengatasi rambut gugur dan rosak.
RAWATAN rambut bagi mengatasi rambut gugur dan rosak.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Menyedari wanita berkerjaya dibebani tugasan di pejabat, apabila pulang ke rumah terpaksa menguruskan keluarga menyebabkan ada antara mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Ini secara tidak langsung mempengaruhi emosi serta tindakan dalam membuat keputusan.

Dari segi fizikal, wanita yang menghadapi masalah ini menunjukkan keadaan kurang bermaya, sering sakit kepala, sakit di bahagian belakang badan, sukar tidur serta sering marah. Wajah pula lesu, berjeragat serta timbul jerawat disebabkan keadaan hormon yang kurang stabil sehingga mempengaruhi keadaan kulit seseorang.

Menurut Pengarah Urusan Nu’della, Malaysian Holistik Spa, Nur Ailaa Borhan, bagi meredakan tekanan, wanita sememangnya memerlukan perapian diri bermula dari hujung rambut hingga kaki. Ia bukan saja bagus bagi memulihkan keadaan fizikal, juga terapi minda supaya sebaik saja selesai sesi memanjakan tubuh dan wajah, mereka kembali ceria dan dapat memulakan hari baru dengan lebih bersemangat.

“Bagi menghargai wanita, Nu’della menyediakan rawatan Diamond Deluxe yang bersifat mewah bagi memberikan kelegaan kepada wanita yang selama ini bersusah payah menguruskan keluarga dan mencari rezeki di pejabat.

“Secara tidak langsung mereka merasakan diri mereka dihargai. Rawatan yang memberi tumpuan dari hujung rambut hingga kaki adalah peluang keemasan kerana diberikan secara eksklusif dari segi penggunaan produk juga perkhidmatan diberikan,” katanya.

Bermula dengan spa rambut, rambut disapu krim dan dibuat urutan pada kulit kepala. Kemudian rambut pelanggan diwapkan selama 30 minit bagi melegakan sakit kepala, migran, keguguran rambut, menguatkan akar dan mencantikkan rambut. Kemudian pelanggan akan menjalani cucian rambut menggunakan syampu dan pelembap bagi menghilangkan kelemumur, menanggalkan minyak dan melembapkan kulit kepala.

Jelas Ailaa, kebanyakan wanita mengambil mudah penjagaan rambut kerana merasakan rambut tidak diperlihatkan kerana memakai tudung. Oleh itu, apabila menghadapi masalah seperti rambut gugur, kering atau kelemumur, mereka tidak mengambil tindakan sewajarnya.

“Keadaan ini menyebabkan rambut menjadi semakin rosak dan memerlukan rawatan rapi untuk memulihkannya. Sampai kepada satu tahap ia mengambil masa yang lama. Wanita harus beranggapan rambut adalah mahkota yang harus dijaga sebaik mungkin. De­ngan mendapatkan rawatan daripada mereka yang pakar dalam bidang ini mampu menyelesaikan masalah berkaitan rambut,” katanya.

Untuk rawatan wajah, Nu’della menyediakan microdermabration wajah yang memberikan tumpuan secara terperinci mengenai masalah kulit. Rawatan ini dilakukan menggunakan mesin microdermabration yang diletakkan pada kulit.

Mesin ini akan bertindak melancarkan peredaran darah, menjadikan kulit lebih anjal dan membuang noda hitam yang menjadikan kulit kusam.

“Menggunakan bahan serbuk mutiara yang dititik pada wajah kemudian diurut, rawatan microdermabration dapat menghaluskan kulit, mengurangkan jeragat dan mencerahkan kulit. Selepas melakukannya, pelanggan akan dapati kulit mereka lebih halus dan cerah,” katanya.

Selain rambut dan wajah, wanita juga dirai dengan mandian berasaskan bunga-bungaan segar. Campuran pelbagai jenis bunga berfungsi memberikan kesegaran dan melegakan tekanan. Berendam selama 15 minit mampu melancarkan perjalanan darah dan menjadikan wajah lebih berseri.

“Rawatan sauna yang disediakan ini memberikan kesan terapeutik pada badan. Haba dikeluarkan bukan saja mengaktifkan kelenjar peluh bagi membantu menghapuskan toksin dalam badan tetapi juga meningkatkan kadar jantung dan peredaran darah.

“Berehat di dalam sauna selama 15 hingga 30 minit menjadikan badan berpeluh. Berpeluh cara terbaik menyingkirkan toksin dalam badan. Menerusi perpeluhan ia dapat melancarkan peredaran darah, mengawal berat badan dan menjadikan kulit lebih halus dan cantik,” katanya.

Selesai bersauna, pelanggan dibawa melakukan rawatan kuku kaki dan tangan bagi melembutkan kulit dan melancarkan peredaran darah pada kaki. Menggunakan produk terpilih yang dihasilkan Nu’della sendiri, semestinya produk dihasilkan menggunakan bahan semula jadi ekstrak pati tumbuhan yang selamat serta melalui kajian pakar hampir 16 tahun.

Produk digunakan sesuai walaupun untuk kulit bermasalah atau sensitif. Lebih penting, spa ini mengamalkan konsep Islamik bukan saja dari segi penggunaan bahan halal juga termasuk kaedah rawatan yang menekankan batas aurat.

“Istimewanya, kaedah pengurusan yang menerapkan konsep Pengamalan Spa Secara Islamik yang menghalang pelanggan lelaki daripada memasuki spa serta menjaga batas aurat di antara ahli terapi dan pelanggan.

“Semua pekerja juga wanita Islam yang dilatih dalam bidang terapi serta berpengalaman berurusan dengan pelanggan,” katanya yang turut memberi peluang kepada wanita menjalani latihan dalam bidang spa menerusi Akademi Nu’della dengan menyediakan tenaga pengajar terlatih serta sijil daripada badan yang disahkan kerajaan.

Antara kursus yang dijalankan termasuk rawatan muka, badan, mandian, urutan dan keusahawanan. Semua kursus ini bagi memberi peluang kepada wanita mempunyai perniagaan sendiri sama ada dilakukan di rumah atau secara bergerak.

Ia sesuai dengan keadaan persekitaran semasa apabila wanita kini sangat mementingkan kesihatan dan kecantikan wajah serta sanggup mengeluarkan belanja untuk mencantikkan diri.

“Industri spa semakin berkembang maju, terutama apabila merujuk kepada usahawan Melayu serta pelanggan Muslimah. Melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang ini dapat memberikan peluang menambah pendapatan serta memberi pilihan kepada wanita memilih konsep spa yang mereka gemari,” kata Ailaa.

Nu’della boleh dihubungi dengan melayari Facebook nudella dan Instagram islamicspapractice.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 4:00 AM