Ainul Mardhiah jalan perniagaan spa kerana minat tinggi dalam dunia kecantikan sejak zaman sekolah.
Ainul Mardhiah jalan perniagaan spa kerana minat tinggi dalam dunia kecantikan sejak zaman sekolah.
Intan Mas Ayu Shahimi


MANIS senyuman wanita ini menyimpan seribu makna. Ternyata Ainul Mardhiah Salaton, 34, tidak pernah berhenti mengejar kejayaan dalam hidupnya.

Mengutip semangat dari zaman kejatuhan, wanita ini bangkit menyusun rencana buat diri dan anak tunggal kesayangan. Ternyata semangat yang ada dalam diri mampu mengembalikan anak bongsu daripada empat beradik ini ke landasan diimpikan.

Lihat saja penampilannya ketika sesi penggambaran di studio Isnin lalu. Langsung tidak kekok bahkan penuh keyakinan.

“Sebenarnya, sebelum mengusahakan spa, saya bekerja dalam bidang berbeza. Antaranya menjadi kerani di firma guaman, pejabat dewan undangan negeri (DUN), kilang makanan, restoran dan syarikat kontraktor.

“Pada masa sama, saya juga terbabit secara separuh masa dalam dunia peragaan Muslimah. Berikutan perjalanan hidup yang berliku sejak kecil sehingga menginjak dewasa, saya tidak berpeluang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya yang kini sibuk menguruskan spa di Shah Alam, Selangor.

Menurut Ainul Mardhiah, dia memilih memajukan perniagaan spa berikutan minat yang tinggi dalam dunia kecantikan sejak zaman persekolahan.

“Kerana minat jugalah saya juga pernah mengambil kursus secara separuh masa selama dua bulan dalam bidang kecantikan dan dandanan rambut ketika bekerja dulu.

MELAYAN pelanggan di spa miliknya.
MELAYAN pelanggan di spa miliknya.

“Selain itu, pembabitan dalam dunia peragaan Muslimah juga banyak memberi ilham untuk saya meneruskan cita-cita dalam bidang ini. Saya ada pengalaman dalam perhubungan awam, bahkan ramai rakan seperjuangan turut mempunyai perniagaan sendiri.

“Jadi, saya rasa kenapa tidak (mencuba)? Saya juga perlu ada perniagaan sendiri yang berkaitan dengan dunia kecantikan wanita, seiring dengan minat dan pekerjaan ketika itu,” katanya.

Tanpa berfikir panjang, wanita ini nekad meraih peluang yang ada biarpun dengan hanya sedikit modal. Dia mencabar kemampuan diri sendiri untuk membuka sebuah spa kecantikan, khusus untuk wanita.

“Saya selalu percaya wanita sememangnya obses dengan kecantikan. Begitu juga dengan saya yang sangat menitikberatkan kecantikan wajah dan tubuh badan.

“Alasan inilah yang membulatkan tekad di hati saya. Saya mempunyai minat yang boleh menjana pulangan. Sebab itulah saya memilih spa sebagai perniagaan,” katanya.

Jelas Ainul Mardhiah, sekalipun dia pernah mempelajari asas kecantikan dan dandanan rambut, tetapi hal yang lebih mencabar adalah untuk memulakan perniagaan spa itu sendiri.

“Saya tidak pernah bekerja di mana-mana spa, tetapi sering pergi ke pusat kecantikan untuk mendapatkan rawatan kulit wajah, urutan badan dan terapi.

“Mahu atau tidak, saya perlu belajar. Saya banyak berusaha mendapatkan nasihat daripada beberapa rakan terutama dari segi pembekalan bahan di spa, dekorasi bersesuaian dan hal ehwal pengurusan.

“Mujurlah saya pernah bekerja sebagai kerani akaun, jadi tidak sukar untuk menyusun atur inventori dan menguruskan kewangan serta perbelanjaan spa.

“Dalam fikiran hanya memikirkan kejayaan. Berbekalkan semangat yang kuat dalam diri, saya akhirnya berjaya membina jenama Velvet Spa. Lebih membanggakan apabila rawatan yang kita tawarkan berjaya menambat hati ramai wanita, terutama mereka yang tinggal di sekitar Shah Alam dan Lembah Klang,” katanya.

Kini, selepas dua tahun terbabit dalam industri spa, Ainul Mardhiah mampu tersenyum. Sebagaimana hebatnya cabaran dan ujian yang pernah ditempuh, begitulah hebatnya nikmat kesenangan yang berjaya dikecapi kini.

“Alhamdulillah, bagi saya cabaran membina perniagaan sendiri masih boleh ditangani dengan baik. Ia tidaklah sesukar mana kerana spa ini milik sendiri.

“Saya perlu bijak dan kreatif untuk menarik lebih ramai pelanggan wanita datang, mencuba rawatan di spa. Tambahan masyarakat kini semakin berkira berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Wanita di luar sana pula mempunyai banyak tanggungan dalam membantu suami dan keluarga. Perubahan ini sedikit sebanyak memberi tempias kepada saya untuk terus cekal dalam bidang perniagaan,” katanya.

MASIH aktif dengan kerja peragaan.
MASIH aktif dengan kerja peragaan.

PERCAYA REZEKI

Bagi Ainul Mardhiah, tiada apa yang mustahil dalam hidup selagi diri berusaha bersungguh-sungguh, mengejar impian dan cita-cita diinginkan.

“Saya percaya kepada kemampuan diri. Saya juga yakin perniagaan spa mempunyai potensi besar jika kita sentiasa menanam semangat yang tinggi.

“Sehingga kini, saya banyak belajar sendiri melalui pembacaan dan melakukan pemerhatian terhadap perkhidmatan yang ditawarkan spa menerusi hebahan di media sosial. Ini semua membantu dalam merangka strategi perniagaan saya.

“Lagipun, sebagai wanita, menjaga wajah saja tidak cukup. Mereka perlu juga menjalani rawatan atau urutan tubuh sekali-sekala, terutama bagi yang semakin meningkat usia.

“Bagaimanapun, karier sebagai pemilik spa memang memberikan kepuasan kepada diri saya. Saya dapat banyak pengalaman baru dalam mengenali dan melayani kerenah pelanggan. Saya juga rasa puas kerana dapat membantu mencantikkan ramai wanita dan mendidik mereka supaya sentiasa menjaga kecantikan yang dianugerahkan Allah SWT,” katanya.

Ainul Mardhiah berkata, dia juga bersyukur kerana sentiasa mendapat dorongan dan sokongan daripada suami serta anak. Kedua-duanya tidak pernah berhenti mendoakan sehingga wanita ini berjaya bangkit dari kekecewaan lama.

“Saya juga bersyukur kerana dikurniakan kawan-kawan baik yang sentiasa mengambil berat dan memberikan nasihat berguna. Suatu hari nanti saya mahu mempunyai spa premium yang lengkap dengan semua rawatan untuk wanita daripada hujung rambut sehingga ke hujung kaki pada harga mampu milik.

“Niat saya, mahu mendorong dan menggalakkan lebih ramai wanita di luar sana mengambil berat kecantikan dan kesihatan luaran mahupun dalaman tubuh. Wanita akan kekal sihat dan anggun jika sentiasa memelihara kecantikan dan kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:00 AM