SEORANG pejuang prokerajaan Abedrabbo Mansour Hadi melepaskan tembakan menggunakan mesingan di Sirwa.
SEORANG pejuang prokerajaan Abedrabbo Mansour Hadi melepaskan tembakan menggunakan mesingan di Sirwa.

Dubai: Serangan udara oleh pakatan Arab yang menyasarkan pemberontak Houthi di Yaman membunuh sekurang-kurangnya 15 orang lewat kelmarin, hanya beberapa jam sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan.

Menurut penduduk tempatan, pesawat perang melancarkan dua serangan di kampung Bani al-Haddad, utara wilayah Hajjah yang bersempadan dengan Arab Saudi, membunuh 13 orang dan mencederakan 20 yang lain.

Dua lagi penduduk mati ketika pasukan perubatan cuba memindahkan mereka.

Jurucakap pakatan tentera diketuai Arab Saudi gagal dihubungi untuk ulasan lanjut.

Dalam satu kenyataan agensi berita Saudi, SPA, pakatan itu menegaskan berhak bertindak balas terhadap sebarang tindakan melanggar gencatan senjata.

Pakatan itu melancarkan sebahagian besar serangan udara ke atas pemberontak Houthi sejak Mac, selepas kumpulan terbabit menawan banyak wilayah di negara itu.

Rundingan damai di Geneva, Jun lalu, gagal membuahkan hasil dengan kedua-dua pihak saling menuding jari sebagai punca peperangan.

Sementara itu, jurucakap pakatan tentera Arab Saudi, Brigadier Jeneral Ahmed al-Assiri mengesahkan gencatan senjata berkuat kuasa pada jam 12 tengah hari (waktu tempatan) semalam seperti dijadualkan, serentak dengan perbincangan damai di Switzerland antara pihak bertelagah.

Bagaimanapun, pegawai keselamatan Yaman di Taez mendakwa tembakan dilepaskan terhadap pejuang prokerajaan tidak lama selepas gencatan dikuatkuasakan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 9:29 AM