SATU keluarga Yaman menaiki trak di Sanaa untuk berpindah ke tempat lebih selamat, semalam.
SATU keluarga Yaman menaiki trak di Sanaa untuk berpindah ke tempat lebih selamat, semalam.

Riyadh: Tiga terbunuh dalam serangan mortar dan roket yang dilancarkan pemberontak di Yaman terhadap sebuah bandar di selatan Arab Saudi, kata Kementerian Dalam Negeri kelmarin.

Bagaimanapun, kenyataan dalam laman Twitter itu tidak mendedahkan sama ada mangsa yang terkorban itu tentera atau orang awam.

Pertempuran di kawasan sempadan Yaman dan Arab Saudi tercetus selepas tentera pakatan Arab yang diketuai Riyadh melancarkan serangan udara terhadap pemberontak Houthi sejak 26 Mac lalu.

Serangan di sempadan menyebabkan 12 askar dan pengawal sempadan terbunuh tetapi tiada orang awam dilaporkan terkorban.

“Tiga maut di wilayah Najran akibat serangan mortar dan roket dari wilayah Yaman,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan kelmarin.

Jurucakap tentera Arab Saudi, Ahmed al-Assiri memberitahu stesen televisyen negara itu, serangan berkenaan mengenai hospital, sekolah dan rumah penduduk di bandar itu dan kawasan sekitarnya.

Katanya, mangsa terbunuh di sebuah hospital di luar bandar itu.

Saluran berita Al-Ekhbariya menyiarkan rakaman cermin kereta yang pecah, jalan rosak, serpihan besi pada bangunan dan sebuah bilik yang terbakar di bandar itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:14 AM