SEORANG lelaki menangis melihat rumahnya yang musnah.
SEORANG lelaki menangis melihat rumahnya yang musnah.
Agensi

Riyadh: Sebarang gencatan senjata di Yaman atas alasan kemanusiaan tidak ‘berguna’ kerana pemberontak dan sekutu mereka tidak menunjukkan kesediaan untuk mematuhinya, kata pegawai Saudi, semalam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin mengumumkan, gencatan senjata itu berkuat kuasa mulai tengah malam tadi bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada jutaan penduduk Yaman yang berdepan kebuluran.

Pakatan Arab diketuai Saudi melancarkan serangan udara sejak Mac lalu, menyasarkan pemberontak Houthi yang disokong Iran bagi membantu tentera yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.

“Saya percaya pakatan Arab tidak melihat sebarang bukti menunjukkan pemberontak komited menghentikan pertempuran.

“Kami percaya gencatan senjata itu tidak berguna,” kata pegawai yang enggan dikenali itu.

Dia juga berkata, Houthi tidak menguasai sepenuhnya sekutu mereka.

Pakatan berkenaan sebelum ini menuduh Houthi mencabuli gencatan senjata lima hari Mei lalu.

“Mereka melancarkan serangan roket dari Yaman dengan menyasarkan wilayah Saudi di kawasan sempadan. Kami tidak akan membiarkan ia berlaku lagi,” katanya.

Pakatan itu percaya pemberontak Yaman akan mengulangi perbuatan mereka.

“Jika mereka komited menghormatinya, kami akan menghormati gencatan senjata berkenaan,” kata pegawai itu.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata di New York semalam, setiausaha agung badan dunia itu menerima jaminan daripada Abed Rabbo dan pemberontak Houthi bahawa mereka akan menghormati gencatan senjata kali ini.

Ia akan dikuatkuasakan selama enam hari sehingga Ramadan berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:02 AM