GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahantiga individu termasuk sepasang suami isteri di Negeri Sembilan dalam Ops Hire 2.0 membabitkan kes tuntutan palsu berkaitan dana di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya).

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek iaitu sepasang suami isteri berusia 29 dan 32 tahun dan seorang wanita berusia 30 tahun itu dipercayai ditahan di pejabat SPRM Seremban kira-kira 4 petang semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

Sumber berkata, suspek iaitu si isteri adalah pemilik syarikat pembuatan kek dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM280,000 pada tahun 2021.

Suspek si suami dan seorang lagi wanita disyaki bersubahat dalam pemindahan transaksi kewangan dan penyediaan dokumen tuntutan palsu.

Suspek dihadapkan di Mahkamah Khas Reman, Seremban pada pagi ini dan Majistret, Loh Sian Yi membenarkan permohonan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu.

Sementara itu, di Sabah seorang lagi individu berusia 34 tahun direman selepas di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

Suspek adalah pemilik syarikat penyedia perkhidmatan latihan dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM570,000 pada tahun 2020 sehingga 2022.

Suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada pagi ini dan Majistret Stephanie Sherron Abbie membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Ahad.

Di Perlis pula, seorang lagi individu yang disyaki memberikan senarai dan butiran pekerja-pekerja yang dikatakan tidak wujud membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira lebih RM200,000.

Suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an, bertindak menjadi orang tengah kepada seorang pemilik syarikat kontraktor yang direman semalam.

Suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Kangar pada pagi ini dan Majistret Ahmad Hamdi Mustaffar membenarkan permohonan reman selama dua hari sehingga Khamis.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 7:31 PM