GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk pensyarah wanita sebuah kolej ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak semalam, selepas disyaki terbabit tuntutan palsu berjumlah RM6,000.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek berusia 30-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, Melaka dan Perak antara jam 3 hingga 6 petang.

"Suspek lelaki yang turut berkhidmat di kolej sama dengan pensyarah wanita terbabit dipercayai berpakat dengan seorang pembekal membuat tuntutan palsu untuk membekalkan peralatan mengajar pada 2021.

"Mereka disyaki membuat tuntutan bernilai kira-kira RM6,000 sedangkan pembekalan itu tidak pernah dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Bagaimanapun, katanya, kesemua suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan direkodkan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM Perak akan meningkatkan pemantauan terhadap perolehan kerajaan bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan dan ketirisan kepada dana awam di negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 12:21 PM