TANGKAP layar daripada video di media sosial memaparkan beberapa wanita meminum air basuhan kaki jemaah haji.
TANGKAP layar daripada video di media sosial memaparkan beberapa wanita meminum air basuhan kaki jemaah haji.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Tindakan beberapa wanita di Indonesia yang minum air basuhan kaki pasangan suami isteri baru pulang dari menunaikan haji adalah adat yang bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, adat yang bercanggah dengan al-Quran dan sunnah hukumnya Fasidah (rosak).

Menurutnya, adat sebegitu tidak boleh diikuti.

"Islam wajibkan kita makan dan minum daripada sumber yang halal lagi bersih. Perkara ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 168.

"Malah, adat-adat yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah sukumnya adalah adat yang Fasidah. Ia tidak boleh diikuti," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Allah tidak membenarkan wanita terutama golongan isteri melakukan sesuatu yang bercanggah dengan perintah Allah SWT walaupun bagi tujuan mentaati suami.

"Islam adalah agama yang mulia dan suci. Allah mengangkat martabat suami selagi dia tidak melakukan maksiat. Begitulah juga isteri, Allah angkat martabat isteri yang solehah dan taat arahan Allah dan suami.

"Bagaimanapun, Allah tidak membenarkan isteri melakukan sesuatu yang bercanggah dengan perintah walaupun bagi tujuan mentaati suami. Jelas sabda Nabi SAW, tidak boleh taati makhluk dalam melakukan maksiat kepada Allah.

"Taat suami dituntut tetapi minum air kaki suami hukumnya adalah tidak dibenarkan kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada isteri kerana air itu mungkin tercemar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 3:44 PM