RAKAMAN gambar yang tular di TikTok. FOTO tular
RAKAMAN gambar yang tular di TikTok. FOTO tular
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang terikut-ikut dengan trend semasa 'unboxing isteri' jelas mencemarkan maruah pasangan dan perkara itu seharusnya tidak menjadi ikutan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, trend berkenaan jelas bertentangan dengan norma masyarakat terutama agama Islam dan seharusnya tindakan itu tidak menjadi ikutan.

"Kita tahu ada trend yang tular sejak awal minggu lalu membabitkan pasangan suami isteri melakukan 'unboxing isteri' serta dipaparkan di platform laman sosial untuk tontonan umum.

"Ini satu budaya yang sangat tidak kena kerana membuka aib pasangan dan tindakan itu mencemarkan maruah.

"Selain itu, gimik berkenaan juga boleh mempengaruhi pihak yang melihatnya ke arah perlakuan yang tidak baik, saya nasihatkan sila hentikan trend atau budaya dan tidak terikut-ikut dengan trend semasa sehingga memalukan diri sendiri," katanya kepada Harian Metro, sebentar tadi.

Awal minggu lalu, tular di aplikasi TikTok mengenai trend 'unboxing' dalam kalangan pasangan pengantin baru.

Menerusi video yang tular, kelihatan pengantin lelaki membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala isteri mereka.

Dalam video itu, wanita terbabit masih memakai busana pengantin dan ia dirakam sendiri oleh pengantin perempuan yang duduk di hadapan cermin.

Pada masa sama, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, upacara terbabit sebagai tidak sopan sekali gus mempunyai unsur tersirat malam pertama.

"Malah tidak kurang pula yang mengecam istilah unboxing terbabit seolah-olah menjadikan wanita material dagangan yang dilakukan seperti barangan perniagaan.

"Istilah 'unboxing' itu sendiri sudah menjatuhkan martabat wanita dan memberi gambaran bahawa mereka (wanita) adalah barang dagangan dan ini amat tidak boleh diterima.

"Manakala dalam al-Quran pula, Allah memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka dan memelihara dari disakiti," katanya.

Beliau berkata, menerusi firman Allah di dalam Surah al-Baqarah bermaksud 'isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.'

Katanya, perumpamaan yang ditampilkan oleh al-Quran ini menggambarkan bahawa suami dan isteri itu seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 10:10 AM