ALLAH memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka dan memelihara daripada disakiti. FOTO Arkib NSTP
ALLAH memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka dan memelihara daripada disakiti. FOTO Arkib NSTP
Dr  Ahmad Sanusi Azmi

Tular di media sosial pasangan pengantin baharu yang menjalankan upacara 'unboxing isteri'. Pemerhatian dari video yang dipaparkan, istilah 'unboxing isteri di sini membawa maksud pihak suami menanggalkan aksesori perhiasan daripada pakaian isterinya. Paparan video ringkas terbabit sudah mengundang kecaman pelbagai pihak kerana menimbulkan tafsiran yang tidak baik terhadap perbuatan terbabit. Ada yang melihat upacara terbabit sebagai tidak sopan, ada yang berasakan klip video terbabit mempunya unsur tersirat malam pertama, malah tidak kurang pula yang mengecam istilah unboxing terbabit seolah-olah menjadikan wanita material dagangan yang dilakukan seperti item perniagaan.

   

Unboxing bercanggah dalam Islam

Upacara unboxing isteri ini secara zahirnya dilihat bercanggah dengan prinsip Islam. Rasulullah SAW memerintahkan suami supaya sentiasa menjaga kehormatan isteri dan penampilan mereka. Suami tidak seharusnya menjadikan isteri mereka sebagai objek perhiasan buat tatapan umum. Perhatikan bagaimana Rasulullah SAW sendiri sangat menjaga isteri Baginda sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta. Saranan ini pernah diungkapkan Rasulullah kepada Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Maimunah apabila datang seorang buta ke rumah Baginda.

Kata Rasulullah: "Hendaklah kamu berdua memakai hijab." Lalu isteri Baginda berkata: "Bukankah dia seorang yang buta wahai Rasulullah? Dan dia tidak boleh melihat kami." Lalu Rasulullah menjelaskan: "Bukankah kamu berdua boleh melihat dia?" (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Tindakan Rasulullah ini seharusnya menjadi ikutan suami supaya sentiasa memelihara kehormatan isteri mereka.

   

Al-Quran memerintahkan suami menjaga isteri

Manakala dalam al-Quran pula, Allah memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka  dan memelihara dari disakiti. Firman Allah yang bermaksud: "Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka." (Surah al-Baqarah: 187)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan yang ditampilkan oleh al-Quran ini menggambarkan bahawa suami dan isteri itu seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Beliau menjelaskan bahawa: "Pakaian itu dijadikan sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua." Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Mereka mungkin sekadar berniat untuk berhibur, namun ia dibimbangi rakaman yang dimuat-naik tersebut pada hakikatnya mendedahkan keaiban pasangan tanpa disedari.

   

Suami dilarang mendedahkan isu dalaman

Bahkan apa yang lebih membimbangkan lagi ialah andai sekiranya paparan video yang mereka kongsikan terbabit mendedahkan pula aurat isteri atau suami. Dalam sebuah hadis, Rasulullah mengecam suami yang mendedahkan perlakuan sulit yang berlaku antara suami dan isteri. Apa yang berlaku di kamar tidur mereka, biar menjadi rahsia sesama mereka dan bukan dijadikan tatapan buat khalayak umum. Ini kerana Rasulullah mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka.

Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya." (Hadis Riwayat Muslim)

Istilah unboxing menjatuhkan martabat wanita

Suatu perkara yang turut menjadi perbualan ramai adalah istilah unboxing itu sendiri. Istilah terbabit dikatakan menjatuhkan martabat seorang wanita yang seolah-olah diumpamakan seperti barangan dagangan yang sampai ke rumah dan perlu dinyahkotakkan (unboxing). Malah apa pula perasaan seorang ayah yang selama ini menjaga anak perempuan mereka dengan baik, secara tiba-tiba dipaparkan keadaan mereka sedemikian rupa. Ini adalah antara perkara penting yang perlu difikirkan oleh pasangan muda sebelum mereka berkongsi sesuatu dalam media sosial.

   

Fitnah media sosial

Barangkali ini adalah sebahagian daripada fitnah di media sosial. Generasi moden menjadi ghairah untuk berkongsi kegembiraan sehingga terlepas pandang beberapa prinsip yang digariskan dalam Islam. Pada hakikatnya, tidak salah untuk berkongsi kegembiraan perkahwinan dan sebagainya. Namun setiap Muslim harus berhati-hati dalam memuat naik gambar atau video paparan peribadi kerana kita bimbang andai sekiranya ia mengundang murka ilahi. Semoga Allah membimbing kita semua.

Penulis Timbalan Dekan,  Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 7:00 AM