UIAM nafi tidak mampu bayar balik hutang.
UIAM nafi tidak mampu bayar balik hutang.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menafikan institusi itu berada dalam keadaan tidak berupaya membayar balik hutang selain mempunyai kedudukan kewangan yang tidak stabil.

UIAM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan laporan media baru-baru mengenai perkara berkenaan adalah tidak tepat dan mengelirukan kerana sebagai universiti awam, ia tidak dibenarkan membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan untuk tujuan perbelanjaan operasi.

"Pengurusan UIAM ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang pinjaman berbentuk hutang yang pernah diambil sehingga hari ini," menurut kenyataan itu.

Menurut UAIM perkara itu dapat dibuktikan melalui hasil dapatan audit penyata kewangan oleh juruaudit bebas iaitu KPMG Malaysia yang telah memberi penarafan sijil bersih kepada universiti berkenaan untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2021.

Pada Rabu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 menyatakan bahawa kedudukan kewangan UIAM secara keseluruhannya kurang stabil kerana mencatatkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta setakat 31 Disember 2022.

UIAM memaklumkan kurangan terkumpul itu disebabkan peruntukan besar untuk pelan manfaat persaraan kakitangan yang akan bersara wajib, selaras dengan kehendak Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS).

"Pada tahun kewangan berakhir 2022, sejumlah RM308.59 juta direkodkan sebagai komitmen keseluruhan bagi pelan manfaat persaraan tersebut," katanya.

Menurut UIAM pada awal pelaksanaan pembayaran ganjaran manfaat persaraan, pihak pengurusan berhasrat untuk tidak bergantung kepada geran khas kerajaan dan menggunakan sumber dalaman universiti bagi bayaran ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib.

Katanya sehingga tahun lalu, hampir RM100 juta dibayar kepada kakitangan UIAM yang bersara menggunakan sumber dalaman universiti berbeza dengan universiti awam lain yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen).

Berikutan peningkatan kadar inflasi, kenaikan gaji berperingkat sejak tahun 2012, serta pola umur kakitangan yang semakin meningkat (persaraan), komitmen bayaran tahunan institusi itu juga turut meningkat.

"Universiti membuat kajian dan mendapati sumber dalaman tidak lagi mencukupi untuk membiayai perbelanjaan ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib, maka pihak pengurusan telah mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukan tambahan tahunan," menurut UAIM.

UIAM dijangka membelanjakan purata RM24 juta mulai tahun kewangan 2024 dan ia akan meningkat selaras pengumuman awal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperbaiki struktur gaji kakitangan awam yang baharu, pada penghujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 3:05 PM