KHAIRUL Azra (kiri) menyampaikan cenderamata penghargaan penaja Pasukan Media, Pallas Rejam kepada Abdul Rahman sebelum perlawanan sepak takraw persahabatan di Kompleks Sukan Wanita UIAM. FOTO Ihsan Pasukan Sepak Takraw Media
KHAIRUL Azra (kiri) menyampaikan cenderamata penghargaan penaja Pasukan Media, Pallas Rejam kepada Abdul Rahman sebelum perlawanan sepak takraw persahabatan di Kompleks Sukan Wanita UIAM. FOTO Ihsan Pasukan Sepak Takraw Media

Kuala Lumpur: Momentum kejayaan semakin menyebelahi Pasukan Media dalam siri jelajah perlawanan sepak takraw persahabatan apabila mereka kali ini menewaskan Pilihan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 5-4 pada 10 Mei lalu.

Pasukan Media yang diuruskan wartawan, Abdul Hafiz Ahmad ini turut memenangi dua perlawanan acara beregu di antara sembilan perlawanan yang dijalankan di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Wanita UIAM, Gombak, Selangor itu sekalipun dengan gandingan tangkap muat.

Inilah kemenangan kedua Pasukan Media sejak menjalani 'Reunion 11 Syawal' selepas kali akhir aktif pada 2015 dan menewaskan Pilihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 4-2 dan seri satu selain tumpas empat dan seri satu dengan Pilihan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 4 dan 1 Mei lalu.

UIAM yang dikendalikan bekas apit kanan Kelantan dan negara, Abdul Rahman Muhammad juga sedang dalam rangka persediaan menghadapi Liga Sepak Takraw Varsiti (VSL) Sirkit 2 di Universiti Malaysia Pahang, Pekan, Pahang dari 27 hingga 31 Mei ini.

Dipimpin Khairul Azra Ghazali, Pasukan Media turut membariskan Alisaifuddin Kamis, Noormanshah A Rahman, Mohamed Syamsul Adlien Md Nazri, Nazizul Najhan Saarani, Mohd Azrol Abdul Majid, Khairul Idlan Abd Razak dan Khairul Faizee Mahmod serta Wan Mohd Noraffandi W Mohd Ghazali.

Perlawanan Pasukan Media-UIAM ini turut merakamkan penampilan sulung dua pendatang baharu, Pian Hafiz Piramele dan Ahmad Faez Ahmad Hilmi masing-masing daripada agensi Kementerian Komunikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 5:35 PM