Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Umno akan menggerakkan sepenuhnya jentera parti untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berlangsung malam tadi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut dinamakan selaku Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Dun Sungai Bakap.

"Datuk Musa Sheikh Fadzir (dinamakan) selaku Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Ketua War Room PRK Sungai Bakap," katanya dalam kenyataan.

PRK Dun itu menyaksikan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dinamakan sebagai calon Perpaduan.

Mengulas lanjut mengenai Mesyuarat MKT, Asyraf Wajdi berkata, perkara lain dibincangkan termasuk tarikh Perhimpunan Agung Umno yang dipersetujui diadakan pada 21 hingga 24 Ogos tahun ini.

Selain itu katanya, semua peringkat Umno perlu mengambil tanggungjawab membantu kerajaan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara yang dipelopori Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno.

"Ia bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan oleh 1,345 institusi TVET seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya oleh anak-anak muda.

"(Agar mereka) dapat dibela dan diberikan peluang masa depan yang lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium," katanya.

Menurutnya, Umno juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut cadangan parti itu supaya menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig.

"Umno akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET 'upskilling' dan 'reskilling' melalui Majlis TVET Negara," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:23 AM