SHAHRIR Samad
SHAHRIR Samad
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Peneroka FELDA di seluruh negara mahu melihat kesudahan yang lebih baik berhubung isu serta kemelut pengurusan yang dihadapi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad berkata, rata-rata peneroka mahu FGV diuruskan dengan kaedah urus tadbir yang baik selain kembali mencapai keuntungan dan mencapai prestasi terbaik.

Beliau berkata, ramai peneroka sebenarnya ingin lihat supaya proses yang berlaku dalam FGV berakhir dengan keadaan yang lebih baik.

“Beberapa perubahan sudah dilihat termasuk perubahan dari segi jawatan Pengerusi FGV dan kita melihat segala yang diuruskan FGV dapat ditangani dan dilaksanakan mengikut kaedah urus tadbir yang baik.

“Semua (peneroka) mempunyai harapan dan rasa positif kepada kesudahan yang baik di FGV,” katanya pada sidang media selepas hadir mesyuarat terakhir penganjuran sambutan Hari Peneroka FELDA 2017 di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Katanya, isu FGV juga tidak menjejaskan kehidupan harian peneroka kerana sebagai pelabur dan pemegang saham kerana yakin pelaburan mereka selamat dan terjamin selagi FGV diuruskan dengan baik oleh pengurusan yang baru, lembaga pengarah yang baru dan kesudahan siasatan dalaman lebih baik.

Shahrir berkata, sebagai syarikat induk kepada FGV, menjadi harapan FELDA untuk melihat anaknya (FGV) melalui proses tersusun yang akhirnya membawa kepada kedudukan lebih teguh, mantap dan berprestasi.

“FGV berjalan macam biasa kerana ia adalah syarikat induk dan mempunyai anak syarikat yang mempunyai peranan serta tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 5:45 AM