SUASANA tegang ketika  pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Ihsan Foto Jabatan Penerangan
SUASANA tegang ketika pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Ihsan Foto Jabatan Penerangan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan Madani mengusulkan supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibahaskan secara terperinci di Dewan Rakyat hari ini sebagai satu usaha reformasi dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti pengauditan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif ini bertujuan supaya semua pihak dapat memberikan perhatian terhadap kehendak undang-undang untuk mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik.

"Usaha murni oleh Kerajaan Madani ini akan memberi ruang dan peluang secara langsung kepada lebih banyak Ahli-Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan blok pembangkang mengambil bahagian dalam proses memastikan dana kerajaan digunakan secara berhemat demi kepentingan awam yang sewajarnya.

"Usaha murni ini juga wajar diteruskan bagi tahun-tahun akan datang bagi terus memupuk amalan ketelusan dalam semua aspek pentadbiran awam seiring dengan usaha mentransformasikan Dewan Rakyat yang berperanan untuk semak dan imbang kuasa eksekutif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul LKAN Tahun 2021 Siri 2 yang kemudiannya dibahaskan 13 Ahli Parlimen.

Azalina berkata perbahasan LKAN itu meliputi tiga perkara iaitu aktiviti yang menfokuskan kepada pencapaian objektif program, aktiviti dan projek yang dilaksanakan oleh kementerian, jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan dengan menekankan konsep 3E - ekonomi, efisien dan efektif.

"Kedua, LKAN Pematuhan pula menilai ketidakpatuhan terhadap undang-undang, peraturan, kontrak dan/atau prosedur kewangan yang mengakibatkan berlakunya pemborosan, pembaziran, pembayaran tidak teratur dan kehilangan atau kerugian, seterusnya membawa kepada ketirisan wang awam," katanya.

Selain itu, ia membabitkan LKAN Pengurusan Syarikat Kerajaan bagi menilai pencapaian objektif penubuhan syarikat melalui tiga aspek utama iaitu pengurusan aktiviti, tadbir urus korporat dan kedudukan kewangan bagi tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Azalina berkata sistem Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) dibangunkan bagi memaparkan isu dan status tindakan terkini terhadap teguran atau isu yang dilaporkan dalam LKAN.

Katanya, kedudukan semasa teguran atau isu dalam LKAN boleh diakses melalui Portal AGD oleh semua pihak termasuk orang awam dan pihak berkepentingan untuk mengetahui tindakan yang telah atau sedang diambil oleh auditi terhadap isu utama yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.

Beliau berkata di peringkat Persekutuan, setakat 31 Mei tahun ini, terdapat 5,164 isu telah dibangkitkan dalam LKAN Tahun 2011 hingga 2021 Siri 2 mengenai kementerian, jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan Persekutuan.

Sebanyak 4,912 isu (atau 95 peratus) daripada keseluruhan isu terbabit telah selesai, manakala 252 isu (atau lima peratus) masih dalam tindakan oleh kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan, katanya.

Selain tindakan susulan melalui Sistem AGD, Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (JTLKAN) yang merupakan platform untuk menentukan tindakan serta membincangkan penyelesaian supaya isu sama tidak berulang, telah ditubuhkan secara pentadbiran sejak 2012 di bawah inisiatif Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0).

Berdasarkan LKAN Tahun 2015 sehingga LKAN Tahun 2021 Siri 1, Azalina berkata data hukuman tatatertib yang dikemas kini oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setakat 10 Mei lalu menunjukkan seramai 310 penjawat awam sudah dikenakan tindakan tatatertib.

Antara tindakan yang dikenakan adalah amaran, surcaj, denda, tangguh pergerakan gaji, turun gaji dan tindakan buang kerja.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:27 PM