Kuala Lumpur: Maybank dan Sime Darby menerajui senarai enam syarikat terkemuka Malaysia yang menjadi pilihan pelabur, menerusi hasil tinjauan terbaru majalah kewangan Hong Kong, Alpha Southeast Asia.

Syarikat lain yang tersenarai ialah Westports Holdings, Sona Petroleum, Seven Convenience dan Boustead Plantations. Tinjauan kali kelima dalam kalangan pelabur itu, dijalankan pada Februari sehingga Jun 2015 dan bertujuan mengenal pasti syarikat terkemuka di Asia Tenggara.

Majalah itu berkata, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Sime Darby, Datuk Tong Poh Keow dipilih CFO terbaik di Malaysia bagi kali ketiga berturut-turut manakala Sime Darby turut dinobatkan syarikat terbaik memiliki Tanggungjawab Sosial Korporat Strategik Terbaik dan Pematuhan Tadbir Urus Korporat Yang Cemerlang.

Maybank pula mengungguli segmen Laporan Tahunan Terbaik di Malaysia selain mendapat undian tertinggi bagi Perhubungan Pelabur (IR) Paling Teratur, Sokongan Pengurusan Kanan IR Terbaik dan Dasar Dividen Paling Konsisten. Westports Holdings juga dinamakan syarikat yang memiliki Perhubungan Pelaburan Yang Lebih Baik.

Pemilihan itu dibuat berdasarkan jumlah undian dalam kalangan 520 pelabur, dana persaraan, dana lindung nilai, broker ekuiti dan pendapatan tetap serta penganalisis dengan kepentingan pelaburan di rantau Asia Tenggara.

Syarikat di setiap negara itu disenaraikan mengikut aspek pengurusan kewangan, tadbir urus korporat, laporan bersepadu/CSR dan perhubungan pelabur.

Alpha Southeast Asia adalah majalah terbitan pelaburan pertama dan satu-satunya di Hong Kong yang menumpukan aspek perbankan dan pasaran modal rantau berkenaan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 6:51 AM