DATUK Seri Amirudin Shari. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
DATUK Seri Amirudin Shari. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) kini sebahagian daripada kerajaan Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri yang akan berakhir Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata keputusan itu adalah hasil perbincangan yang dimuktamadkan bersama Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya yakin sebaik dewan ini (berakhir), ahli-ahli dewan dari BN akan menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sampailah kita tutup pentadbiran kita pada penggal ini berakhir bulan enam (Jun) dengan peruntukan dan dasar yang seadilnya.

"Cuma Parti Bangsa Malaysia (PBM) presidennya belum bagi kata putus, nak sertai atau tidak begitu juga dengan Parti Warisan, kalau ada kita akan bincangkan," katanya ketika sesi penggulungan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada persidangan DUN hari ini.

Mengulas mengenai kedudukan ketua pembangkang Selangor, beliau mempersoal cadangan Adun Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mencadangkan Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dari Pas.

"Saya pelik kenapa tak cadangkan Selat Klang (Datuk Abdul Rashid Asari ) daripada parti dia (Bersatu) sendiri, sepatutnya cadang Selat Klang kerana ikut jumlah (kerusi) Bersatu lebih banyak daripada Pas.

"Ketua pembangkang (Datuk Rizam Ismail, BN-Sungai Air Tawar) belum lagi letak jawatan, sudah nak namakan 'future' Ketua Pembangkang Sijangkang, yang namakan itu mungkin adalah 'de facto' ketua pembangkang," katanya.

Bersatu menyandang empat kerusi DUN manakala, Pas hanya satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 8:17 PM