LAU, gambar fail. FOTO NSTP
LAU, gambar fail. FOTO NSTP
Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Lau Weng San akan meneliti terlebih dahulu notis bertulis kekosongan luar jangka Dun Selat Klang sebelum memberikan sebarang keputusan.

Beliau berkata, menerusi Undang-Undang Negeri Selangor, keputusan itu perlu dibuat dalam 21 hari dari tempoh menerima notis berkenaan serta memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya perlu meneliti dokumen yang diberikan dulu, tapi buat masa sekarang, saya tiada apa-apa untuk diulas," katanya ringkas kepada BH.

Semalam, Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan sudah menghantar notis bertulis kekosongan luar jangka kerusi Dun Selat Klang kepada Lau.

Katanya, penyerahan notis itu dibuat menurut Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 susulan perkembangan Datuk Abdul Rashid Asari yang kini bukan lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Azmin berkata, selain notis kekosongan luar jangka itu, beliau turut menyerahkan dua dokumen tambahan untuk membantu Speaker DUN meneliti perkara berkenaan.

"Dua dokumen itu adalah pemakluman keperluan ahli Bersatu mematuhi arahan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) bertarikh 17 Mei yang mana Abdul Rashid diberi dua minggu untuk mematuhinya.

"Malangnya setelah tamat tempoh itu beliau gagal dan ingkar maka 12 Jun lalu, BERSATU keluarkan notis pemakluman bahawa keahliannya terhenti serta-merta," jelasnya.

Untuk rekod, Abdul Rashid sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:21 PM