ABDUL Rashid. FOTO NSTP
ABDUL Rashid. FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mengesahkan sokongan ke atas kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.

Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.

"Keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah saya meneliti Titah Ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

"Langkah ini juga akibat dari beberapa siri tindakan Perikatan Nasional (PN) terutamanya PN Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.

"Ini adalah berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rashid berkata, keputusan itu juga bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terutama penduduk di kawasan Selat Klang yang akan menerima manfaat dari kerajaan yang stabil serta padu.

"Saya kekal komited sebagai ahli parti Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai Adun Selat Klang," katanya.

Sementara itu Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Lau Weng San ketika ditemui pemberita berkata, beliau belum menerima sebarang surat rasmi atau pemakluman berhubung perkara ini daripada Abdul Rashid.

"Saya belum terima sebarang makluman tentang kedudukan Datuk Abdul Rashid, sekiranya diterima saya akan buat keputusan sewajarnya.

"Saya akan bincang dengan urus setia (kedudukan tempat duduk Abdul Rashid) sebelum membuat keputusan. Kedudukan pembangkang kini adalah 21 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 7:13 PM