Weng San dilantik menjadi Speaker DUN Selangor yang baharu bagi penggal pertama Mesyuarat DUN ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Weng San dilantik menjadi Speaker DUN Selangor yang baharu bagi penggal pertama Mesyuarat DUN ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banting Lau Weng San dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor yang baharu bagi penggal pertama Mesyuarat Dun ke-15, hari ini.

Weng San dicadangkan Adun Sekinchan yang juga mantan Speaker Ng Suee Lim dan disokong oleh Adun Banting V Papparaidu.

Pada mesyuarat itu, Adun Sijangkang Datuk Dr Yunus Hairi turut mencadangkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Mohd Fuad Mohd Salleh sebagai Speaker dari Perikatan Nasional (PN) dan disokong oleh Adun Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.

Setiausaha Dewan Negeri Selangor J Gayathri kemudian memaklumkan undi sulit dilakukan berikutan terdapat dua nama calon Speaker yang dikemukakan.

Pada proses undi sulit itu, Weng San mendapat 34 undian dari dewan manakala Mohd Fuad memperoleh 22 undi.

Bagi jawatan Timbalan Speaker, Adun Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri mencadangkan Adun Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin dan disokong Adun Teratai Yew Jia Haur.

PN menerusi Adun Sabak Sallehein Mukhyi pula mencadangkan Adun Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah dan disokong Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham.

Selepas proses undi sulit, Mohd Kamri dipilih sebagai Timbalan Speaker apabila memperoleh 34 undi manakala Mohd Shafie Ngah mendapat 22 undi.

Pada mesyuarat itu, seramai 56 Adun termasuk 22 Adun daripada PN mengangkat sumpah dengan dimulakan Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar.

Pada 12 Ogos lalu, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PH-BN) membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN manakala PN memperoleh 22 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:38 PM