Oleh Mohamed Farid Noh

Segamat: "Air naik terlalu pantas sehingga penduduk gagal selamatkan harta benda termasuk kereta," kata mangsa banjir di Kampung Spang Loi di sini, Faizal Hassan, 39.

Peniaga kedai runcit itu berkata, penduduk tidak menyangka banjir melanda kampung berkenaan selepas kali terakhir berlaku 10 tahun lalu.

Katanya, kira-kira jam 2.30 pagi tadi penduduk kampung dikejutkan dengan kejadian ban Sungai Muar di Kampung Spang Loi pecah menyebabkan air deras memasuki kampung itu.

"Air terlalu deras dan ditambah pula dengan hujan tidak berhenti sejak semalam menyebabkan ramai penduduk gagal menyelamatkan harta benda malah saya tidak sempat mengalihkan kereta dalam keadaan kelam kabut.

"Kebanyakan stok barang di kedai termasuk beras, tepung dan gula turut gagal diselamatkan berikutan air terlalu deras sehingga paras pinggang menyebabkan saya dan keluarga terpaksa menyelamatkan diri dengan segera.

"Banjir kali ini menyamai banjir besar pada 2006 berikutan hujan masih tidak berhenti dengan paras air banjir makin naik, malah penduduk bimbang dengan fenomena air pasang besar yang mungkin akan menenggelamkan kediaman kami," katanya ketika ditemui hari ini.

Keadaan terkini sungai berhampiran Kampung Spang Loi, Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan terkini sungai berhampiran Kampung Spang Loi, Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Setakat tengah hari ini, mangsa banjir di negeri ini dilaporkan terus melonjak kepada 1,827 mangsa daripada 466 keluarga yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,646 mangsa daripada 425 keluarga yang ditempatkan di 28 PPS pada jam 8 pagi.

Daerah Segamat paling terjejas dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,771 daripada 452 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Yusaini Yahya, 48, berkata banjir sudah lama tidak berlaku di kampung yang mempunyai 97 rumah itu selepas kerajaan membuat ban baharu bagi mengelakkan air sungai melimpah masuk.

"Namun kerana arus terlalu kuat akibat hujan berterusan menyebabkan ban pecah sebelum air sungai melimpah terlalu laju dan cukup deras.

"Penduduk kampung saling membantu menyelamatkan harta benda namun tidak sempat.

"Saya turut mengalihkan barangan termasuk perabot yang sempat diselamatkan ke kawasan jalan yang lebih tinggi dan dibiarkan di situ kerana tiada tempat lain hendak dialihkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 3:20 PM